- Iklan -
Berita

Malaysia mengundi pada 19 November

Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November dengan tempoh kempen selama dua minggu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh ketika sidang media pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 dan PRN Pahang, Perlis dan Perak di Purajaya hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh ketika sidang media pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 dan PRN Pahang, Perlis dan Perak di Purajaya hari ini.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November bagi memilih kerajaan baru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November, memberikan dua minggu tempoh kempen dengan pengundian awal akan dijalankan pada 15 November.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, memberi jalan PRU15 diadakan tahun ini walaupun terdapat bantahan berikutan kebimbangan banjir dan gesaan untuk menumpukan usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Beliau turut mengesyorkan semua negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) dijalankan serentak dengan persekutuan.

Bagaimanapun DUN Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang baru sahaja menjalankan PRN dikecualikan.

Setakat ini, hanya Perak, Pahang dan Perlis membubarkan DUN masing-masing. 

Sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang diterajui PAS dan negeri diterajui PH termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, memilih untuk tidak membubarkan DUN.

WhatsApp Image 2022-10-20 at 12.50.08 PM

Sabah, Melaka, Sarawak mengadakan PRN pada 2021 sementara PRN Johor diadakan pada Mac 2022.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata PRN Pahang, Perak dan Perlis akan diadakan serentak dengan peringkat Persekutuan pada 19 November dengan hari penamaan calon pada tarikh yang sama.

Tarikh yang sama turut ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya di Semporna, Sabah.

Sebanyak 21,173,638 pengundi layak untuk membuang undi pada PRU15.

Parti atau gabungan politik yang memenangi majoriti mudah sebanyak 112 dari 222 kerusi Parlimen bakal membentuk kerajaan baru Malaysia.

Dalam pada itu, Ghani berkata sebanyak 363,516 pegawai akan dilantik bagi pengurusan proses PRU15 dan PRK Bugaya.

Sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa dengan 38,348 saluran mengundi disediakan sementara 578 pusat pengundian dengan 970 saluran akan digunakan.

Ghani juga berkata perjalanan PRU15 dan PRK di Sabah kali ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion.