- Iklan -
Berita

Mahkamah perintah RM200,000 dibayar kepada bekas staf Anwar dalam saman fitnah

Setiausaha akhbar Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah juga diperintahkan supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammed Yusoff Rawther.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Yusoff Rawther dan Tunku Nashrul Tunku Abaidah.
Muhammad Yusoff Rawther dan Tunku Nashrul Tunku Abaidah.

Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan seorang pembantu Anwar Ibrahim membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas staf presiden PKR itu, susulan saman fitnah berkait kenyataan mengenai laporan beliau diserang oleh seorang lagi pembantu ahli politik itu.

Tunku Nashrul Tunku Abaidah yang merupakan setiausaha akhbar Anwar turut diperintahkan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammed Yusoff Rawther berhubung kenyataan medianya pada 2019, di mana beliau menafikan insiden serangan seperti yang didakwa Yusoff berlaku di pejabat Anwar.

Nashrul juga menuduh Yusoff mempunyai masalah disiplin dan dadah.

Kenyataan Nashrul itu dibuat susulan laporan polis oleh Yusoff yang mendakwa beliau diserang secara fizikal oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff juga telah memfailkan saman sivil berasingan terhadap Farhash, menuntut pampasan bagi kecederaan yang dialami selepas beliau mendakwa diserang.

Yusoff, yang pernah bekerja di pejabat banglo Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya sebagai pembantu penyelidik, turut memfailkan saman terhadap presiden PKR itu di mana beliau menuduh Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum ketua pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson. 

Yusoff mendakwa beliau mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian tersebut. 

Kes itu masih berjalan di mahkamah.

Dalam keputusannya hari ini, hakim Ishak Bakri berkata plaintif telah membuktikan kes terhadap defendan, selain turut membenarkan injunksi terhadap Nashrul supaya tidak mengulangi dakwaan terhadap Yusoff.

Yusoff diwakili peguam Haniff Khatri Abdulla.