- Iklan -
Berita

DUN Pahang, Perlis bubar hari ini

Dua negeri yang diterajui Barisan Nasional itu akan mengadakan pilihan raya negeri secara serentak dengan persekutuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bersama Speaker DUN Pahang Ishak Muhamad ketika sidang media di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bersama Speaker DUN Pahang Ishak Muhamad ketika sidang media di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini. Gambar: Bernama

Menteri besar Pahang dan Perlis hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan hari ini, memberikan lalu pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Wan Rosdy berkata beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN itu.

Beliau berkata selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada hari ini. 

“Tarikh hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang Sallehuddin Ishak dan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. 

Sementara itu, di Perlis, Menteri Besarnya, Azlan Man berkata beliau dan Speaker DUN Perlis Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.

"Alhamduillah baginda telah memberi perkenan dan tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan berbincang mengenai tarikh PRU15 pada 20 Oktober depan bagi menetapkan hari penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian.