- Iklan -
Berita

Undi golongan muda sukar dijangka pada PRU15

Walaupun masih sukar untuk meramalkan kecenderungan mengundi kumpulan ini, namun kesannya pada pilihan raya kali ini tidak boleh dipandang remeh, kata penganalisis.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi muda berbaris di stesen mengundi Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.
Pengundi muda berbaris di stesen mengundi Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.

Seorang penganalisis politik menyifatkan undi daripada pengundi muda sebagai sesuatu yang sukar dijangka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi, di mana hampir tujuh juta pengundi baru didaftarkan secara automatik kali ini.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan daripada jumlah keseluruhan 6.9 juta pengundi baru, hanya 16% berada dalam kumpulan umur 18-20 tahun yang disasarkan gerakan Undi 18.

Bagaimanapun, Hisommudin Bakar dari badan pemikir pilihan raya Ilham Centre berkata pengundi muda masih akan membentuk sebahagian besar daripada yang layak mengundi pada PRU15.

"Walaupun segmen pengundi berusia 18 hingga 20 tahun hanya secara purata 6%, jika ini digabungkan dengan purata 42% pengundi berumur 21 hingga 39 tahun, jumlah keseluruhan pengundi muda ialah 48%," katanya.

Katanya, jumlah itu sudah cukup untuk memberi kesan besar kepada keputusan PRU15 jika mereka mengundi dalam menentukan parti manakah yang bakal mendapat majoriti untuk mentadbir Putrajaya.

Pendaftaran pengundi secara automatik berkuat kuasa akhir tahun lalu, susulan kelulusan sebulat suara rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, satu langkah yang dikaitkan dengan parti-parti politik yang mahukan sokongan golongan muda Malaysia dengan memperjuangkan isu-isu dekat dengan kumpulan umur itu.

Sebelum ini, individu yang mahu mengundi perlu mendaftar, namun dengan pelaksanaan pendaftaran automatik, ia dapat memastikan setiap warganegara yang berumur 18 tahun ke atas boleh membuang undi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Hisommudin berkata mereka yang berada dalam kumpulan umur 18-20 tahun adalah golongan yang masih “rapuh" dalam menentukan pendirian, dan sukar untuk meramalkan parti yang akan disokong.

Memetik kajian yang dijalankan Ilham Centre, beliau berkata majoriti pengundi dalam kategori ini kurang terdedah dengan politik.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Belia Perak Yeap Thiam Hoong berkata golongan muda lebih mengenali internet dan media sosial.

Yeap yang merupakan ketua program komunikasi massa di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman berkata, bagi menarik perhatian kumpulan umur itu, calon pilihan raya perlu menumpukan perhatian untuk menjelaskan strategi mereka secara dalam talian.

"Daripada pengalaman peribadi saya, kadang-kadang saya bincangkan soal pilihan raya dengan pelajar saya, dan mengapa mereka perlu mengundi” katanya.

"Tetapi pada pandangan mereka, ia adalah hari cuti - mereka hanya mahu tidur sepanjang hari."

Katanya, isu-isu nasional seperti kes rasuah tidak menjadi kebimbangan utama golongan muda.

"Mereka lebih bimbang tentang pendidikan dan kerjaya mereka, dan memiliki rumah pertama."

Kenyataan Yeap itu juga senada dengan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang menggerakkan kempen Undi 18.

"Belia mahu isu kerja, pendidikan dan pengangkutan awam menjadi fokus kerajaan,” kata Syed Saddiq.

"Mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun akan menjadi pengundi kali pertama, digabung dengan mereka dalam kumpulan umur 21-25 tahun, ia adalah jumlah yang besar."

Hisommudin dalam pada itu berkata bahawa "setiap undi bernilai”.

"Jika mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya secara aktif, undi daripada kumpulan ini boleh menyumbang kepada peratusan penting bagi mana-mana parti."

Yeap turut bersetuju.

“Kami sentiasa percaya dengan falsafah di sebalik pilihan raya,” tambahnya.

"Jangan pandang rendah kepada undi anda."