- Iklan -
Berita

Saarani mengadap Sultan Nazrin berhubung pembubaran DUN esok

Menteri besar Perak itu akan mengadap Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada pukul 2 petang esok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad. Gambar: Bernama
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad. Gambar: Bernama

Menteri Besar Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pukul 2 petang esok bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

"Saya baru dapat perkenan untuk menghadap baginda petang esok,” kata Saarani kepada media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Daerah Kerian hari ini.

Beliau berkata mesyuarat mingguan kerajaan negeri akan diadakan seperti biasa pagi esok, sebelum beliau mengadap Sultan Perak pada sebelah petangnya, dan kenyataan rasmi berhubung pembubaran DUN dijangka akan dikeluarkan pihak istana.

DUN Perak kini dianggotai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan bebas (satu).

Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata DUN di bawah pentadbiran BN kecuali Melaka, Johor dan Sabah akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.