- Iklan -
Berita

PH tiada pilihan selain sokong Bajet 2023

Langkah itu terpaksa diambil walaupun ia akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika tiba di bangunan Parlimen bagi pembentangan Bajet 2023.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika tiba di bangunan Parlimen bagi pembentangan Bajet 2023.

Penganalisis politik menjangkakan Pakatan Harapan (PH) tiada pilihan selain menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dibentang baru-baru ini, meskipun ia akan memberi imej positif kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut mereka, PH tidak mampu merisikokan pembubaran Parlimen sekiranya Bajet 2023 yang dibentang Jumaat lepas tidak mendapat sokongan secukupnya. 

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, sokongan PH itu ialah kerana perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara gabungan itu dan kerajaan.

"PH tidak akan laksanakan sesuatu yang melanggar MoU. Tambahan lagi, PH dapat banyak faedah daripada MoU itu kerana banyak reformasi dibuat oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob antaranya undang-undang anti lompat parti. 

"Bagi bajet ini, saya jangka PH akan sokong untuk memastikan beberapa lagi Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan," katanya kepada MalaysiaNow.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Parlimen dengan peruntukan sebanyak RM372 bilion. 

Ahli Parlimen Pulai, Salahudin Ayub dari Parti Amanah Negara menggelarkan Bajet 2023 itu sebagai halwa telinga untuk menyedapkan hati rakyat dan wajar diperhatikan jika ia boleh direalisassikan.

"Saya berharap kalau benar Bajet 2023 berorientasikan rakyat, ia mesti dibenarkan untuk dibahaskan.

"Kami di pihak pembangkang berikan memorandum persefaham (MoU) untuk beri masa yang cukup kepada perdana menteri untuk membina kembali negara dan bukan bergelut ataupun menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk Parlimen dibubarkan," katanya kepada media di Parlimen baru-baru ini. 

Pembangkang dan beberapa pihak dalam kerajaan termasuk Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kegusaran mengenai pembubaran Parlimen sebelum penggal berakhir, memandangkan musim monsun Timur Laut bakal melanda negara bermula pertengahan November. 

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan BN akan mendapat manfaat terbesar dalam Bajet 2023 walaupun kerajaan sekarang merupakan kerajaan campuran antara BN, PN dan GPS. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Akin Iskandar berkata PH akan meneliti sama ada gabungan itu akan menyokong atau tidak Bajet 2023.

"Kita akan berdebat sehingga akhir dan kita akan lihat apa yang disimpulkan Menteri Kewangan. Ia terlalu awal untuk disimpulkan," tambahnya. 

Menurut Mazlan, prospek pembubaran Parlimen adalah kunci mengapa PH dijangka menyokong perbelanjaan itu. 

Kerajaan pimpinan Ismail berdepan tekanan pembubaran Parlimen secara pramatang ekoran desakan daripada kluster mahkamah yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun turut menjangkakan sokongan PH terhadap Bajet itu. 

"Tatkala mereka berikrar untuk menyokong kerajaan Ismail, mereka tiada pilihan kecuali menyokong bajet itu walaupun tidak sepenuh hati,"tambahnya.

MoU antara Ismail dan PH ditandatangani pada September 2021 merangkumi pelan pemulihan negara pasca Covid-19, transformasi pentadbiran dan pembaharuan di peringkat Parlimen, selain Perjanjian Malaysia dan kebebasan institusi kehakiman.

Sebelum ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PH berkemungkinan menolak Bajet 2023, bergantung kepada ketelusan kerajaan dalam beberapa perkara penting.

Bajet 2022 yang dibentang tahun lalu diluluskan setelah menerima sokongan majoriti ahli Parlimen.