- Iklan -
Berita

Syarat Zahid tidak sesuai, PAS juga ada hak, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata dalam bermuafakat, lebih baik mengutamakan kepentingan bersama berbanding pandangan peribadi seseorang.

Nur Hasliza Mohd Salleh & Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika pemeteraian Muafakat Nasional pada 14 September 2019.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika pemeteraian Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

PAS mengatakan penetapan syarat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung jalinan kerjasama politik kedua-dua parti itu sebagai "tidak sesuai" dan bukan mencerminkan pendirian rasmi parti Melayu itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sepatutnya Umno mengutamakan kepentingan bersama berbanding pandangan individu tertentu yang dikhuatiri akan mewujudkan masalah di kemudian hari. 

Katanya, sekiranya kedua-dua pihak mahu melakukan perbincangan maka rundingan perlulah merujuk kepada perkara yang sama. 

"Cuma setakat ini, kita ada hak sendirilah bagi PAS. 

"Kita sambut baik hasrat Umno untuk adakan penyatuan ummah tapi bagi kita syarat-syarat itu tidak begitu sesuai," katanya kepada MalaysiaNow ketika ditanya pendirian PAS terhadap syarat-syarat jika parti itu ingin perkukuh kerjasama politik di bawah Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. 

Tiga syarat tersebut adalah PAS perlu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), putuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi mereka “mufarakah” atau berpisah 100% daripada Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.

Pada sidang media di Parlimen petang semalam, Tuan Ibrahim berkata syarat-syarat ditetapkan Zahid sebelum ini merupakan pandangan peribadinya dan bukan pendirian Umno.

“Jadi saya fikir, kalau betul, tiga syarat itu mesti masuk dalam kenyataan rasmi. 

“Kenyataan rasmi tidak menyebut syarat-syarat tersebut,” katanya. 

Sebelum ini, Tuan Ibrahim mengingatkan Umno supaya tidak meletakkan syarat-syarat yang dianggap "pelik" dan "berat" sekiranya kedua-dua pihak berhasrat untuk bentuk kerjasama. 

Ketika ditanya adakah PAS mempunyai jangka masa tertentu dalam membuat pengumuman mengenai keputusan kerjasama politik antara PN atau MN, beliau enggan mengulas lanjut. 

Katanya, perkara tersebut akan terus dibincangkan dalam mesyuarat PAS akan datang dan sebarang keputusan akan diumumkan kelak. 

"Berbanding sebelumnya ini, beliau (Zahid) banyak kali cakap nak bergerak solo. 

"Sekarang, beliau ada sebut bersedia untuk berbincang.

“Bagi kita, ini satu benda yang positif. Mungkin mekanisme (kerjasama) itu yang kita kena tengok," katanya.