- Iklan -
Berita

RUU generasi penamat rokok tidak jenayahkan kanak-kanak, kata Khairy

Menteri kesihatan itu berkata kompaun bagi mereka yang belum dewasa jika merokok sudah wujud dalam peraturan sedia ada dan tidak boleh didaftar sebagai kesalahan jenayah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 "menjenayahkan kanak-kanak" adalah mengelirukan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kompaun bagi orang belum dewasa yang merokok sememangnya wujud dalam peraturan sedia ada dan tidak boleh didaftar sebagai kesalahan jenayah.

“Dia (perokok belum dewasa) bukannya masuk penjara dan tiada hukuman penjara bagi mereka ataupun dalam RUU baharu ini kepada mereka yang lahir selepas 2007.

“Jadi janganlah kelirukan rakyat menyatakan bahawa kanak-kanak akan dijenayahkan. Itu tidak betul. Sekarang pun kalau ada kanak-kanak beli rokok dan sekiranya dikesan penguat kuasa, dia akan dikompaun RM50 sahaja,” katanya pada pemberita selepas merasmikan portal KKMNOW, sebagai mengulas penyerahan memorandum pihak Consumer Choice Centre (CCC) di Parlimen hari ini bagi membantah pelaksanaan RUU tersebut.

Memorandum tersebut menyenaraikan tiga bantahan yang menyifatkan RUU itu mengandungi kuasa penguatkuasaan yang besar, menjenayahkan kanak-kanak dan menyebabkan golongan miskin terjejas.

RUU berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau "vape" kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan generasi penamat atau generational end game (GEG) bagi tabiat merokok.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Khairy pada 27 Julai lepas tetapi kemudiannya dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk diperhalusi.

Khairy berkata RUU tersebut telah melalui proses perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu yang wakilnya terdiri daripada pelbagai ahli politik dan antara pindaan dibuat adalah untuk memperkemaskan kuasa-kuasa penguatkuasaan supaya jelas bahawa tiada kuasa yang keterlaluan.

Terdahulu, Khairy dalam ucapanya berkata KKMNow merupakan kesinambungan atau peluasan kepada fungsi portal CovidNow, selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian data kesihatan.

Katanya skop KKMNow yang lebih luas itu merangkumi paparan data berkaitan program kesihatan seperti pendermaan darah dan organ, saringan kesihatan dan data penyakit berjangkit.

KKMNow dibangunkan dengan kerjasama strategik dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) dan ia oleh diakses menerusi https://data.moh.gov.my/.