- Iklan -
Berita

PAS tak terima label parti Melayu Islam sebagai musuh

Parti komponen PN itu tidak bersetuju dengan kenyataan pengerusinya, Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan Umno sebagai musuh utama.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Facebook
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Facebook

Parti komponen Perikatan Nasional (PN) PAS berkata ia tidak boleh menerima pendirian melabelkan parti politik berasaskan Melayu sebagai musuh sekali gus bercanggah dengan kenyataan pengerusi gabungan itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata seluruh parti diminta akur kepada arahan Mursyidul Amnya, Hashim Jasin yang mengkritik pengerusi PN Muhyiddin Yassin berhubung ucapan yang mengisytiharkan Umno sebagai musuh utama menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau turut menggesa supaya ahli  dan pemimpin PAS supaya sentiasa menghayati dan agenda pernyatuan umat Islam.

"Sehubungan dengan itu PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia."

Pada Sabtu lalu, Muhyiddin membidas Umno dan BN dengan berkata mereka kekal menjadi musuh utama PN pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut berkata tidak ada gunanya berspekulasi sama ada PN dan BN akan bekerjasama pada PRU akan datang.

Pemimpin Umno yang bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman pendajara dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berulang kali menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu, sebuah parti yang ditubuhkan oleh Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad ketika kemuncak pendedahan skandal 1MDB.

Sementara itu, PAS dilihat cuba memainkan peranan sebagai pendamai antara dua parti Melayu itu selain turut meyakinkan Umno supaya menerima Bersatu dalam Muafakat Nasional, perjanjian yang dimeterai antara PAS dan Umno ketika kedua-duanya menjadi pembangkang sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan.