- Iklan -
Berita

PAC akan panggil KDN, Maritim berhubung isu perolehan kapal peronda

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan kapal peronda luar pesisir (OPV).

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata selain KDN dan APMM, Kementerian Kewangan serta syarikat yang diberikan kontrak untuk membina kapal itu akan turut dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.

"PAC berpendapat kerajaan iaitu APMM dan KDN perlu memberikan penjelasan kepada Parlimen bagi memastikan rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Wong berkata prosiding berhubung isu tersebut selaras dengan punca kuasa jawatankuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat selain Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982.

Maritim Malaysia dalam kenyataan pada 13 September memaklumkan tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.

Pada 15 September, Perdana Menteri Ismail Sari Yaakob berkata PAC berhak memanggil mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kelewatan penerimaan tiga kapal berkenaan.