- Iklan -
Berita

Bank Negara umum 5 langkah perlindungan daripada penipuan kewangan

Langkah tambahan kawalan itu perlu dilaksanakan institusi kewangan termasuk peralihan penggunaan kata laluan sekali sahaja melalui pesanan ringkas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bank Negara Malaysia. Gambar: Bernama
Bank Negara Malaysia. Gambar: Bernama

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan lima langkah kawalan tambahan yang perlu diambil institusi kewangan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan terutamanya dalam talian.

Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata kaedah penipuan atau modus operandi yang diguna pakai oleh penjenayah berkaitan kewangan sentiasa berubah-ubah. 

"BNM akan terus mempertingkatkan usaha dan langkah untuk membanteras scam (penipuan) dengan memperkenalkan beberapa kawalan tambahan," katanya pada majlis pelancaran Pameran Jenayah Kewangan secara maya, di sini, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, antara langkah kawalan tambahan yang digariskan termasuk peralihan penggunaan kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh serta memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan penipuan.

Selain itu, katanya, bank perlu melaksanakan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat; pelanggan akan dihadkan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian dan semua bank dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan.

Menurutnya, pihak bank dikehendaki memastikan kawalan dan standard keselamatan mereka sentiasa berada pada tahap tertinggi terutamanya bagi perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih. 

"BNM juga mengeluarkan panduan keselamatan kepada industri kewangan dari semasa ke semasa mengenai modus operandi penipuan terkini serta langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank bagi melindungi simpanan pelanggan mereka.

"BNM juga akan terus memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas institusi kewangan untuk memastikan institusi kewangan sentiasa menetapkan kawalan dan standard keselamatan mereka pada tahap tertinggi dan mengambil langkah pencegahan yang berterusan dan efektif," katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, pihak polis memainkan peranan penting dalam menangani kegiatan penipuan kewangan  dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan Pusat Respons Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) bagi memudahkan orang ramai membuat laporan mengenai penipuan kewangan. 

"Bagi membanteras jenayah scam (penipuan) ini secara berkesan, kerjasama antara agensi penguatkuasaan amat penting, terutamanya berkaitan perkongsian maklumat. 

"Satu inisiatif akan dilaksanakan di antara BNM dengan PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk mempertingkatkan lagi Pusat Respons Scam CCID bagi mewujudkan platform perkongsian maklumat yang lebih sistematik dan memastikan tindakan segera dapat diambil," katanya.

Beliau berkata salah satu aspek penting dalam menangani penipuan kewangan ialah meningkatkan kesedaran termasuk modus operandi penipuan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh orang ramai untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

"Dalam hal ini, BNM dan institusi kewangan serta agensi penguatkuasaan akan menjalankan usaha yang berterusan untuk meningkatkan keberkesanan program kesedaran dan penyebaran maklumat kepada rakyat Malaysia," katanya. 

Pameran Jenayah Kewangan secara maya anjuran Muzium dan Galeri Seni BNM bersama PDRM itu dilaksanakan bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai penipuan kewangan.

Pameran itu dirasmikan secara bersama oleh Nor Shamsiah dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan boleh diakses melalui pautan https://museum.bnm.gov.my/fce