- Iklan -
Berita

PM jamin Bajet 2023 tidak pinggir kaum Cina

Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan memastikan bajet tahun depan berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 2022 di Seremban semalam. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 2022 di Seremban semalam. Gambar: Bernama

Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan meminggirkan usaha memperkasakan masyarakat Cina sama ada di bandar dan luar bandar dalam pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober di Dewan Rakyat. 

Perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan Bajet 2023 yang disediakan adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

“Bajet 2023 juga akan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun depan," katanya dalam ucapan sempena majlis penutup Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 2022, di Seremban, malam tadi. 

Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan merupakan program tahunan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang warisan dan budaya Cina, namun, ia tidak dapat diadakan sejak dua tahun lepas berikutan penularan pandemik Covid-19.

Turut hadir ialah Menteri Besar Aminuddin Harun, Duta China Ouyang Yujing dan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Goh Tian Chuan.

Selain itu, Ismail berkata kerajaan amat prihatin dengan kesulitan dihadapi Keluarga Malaysia dan sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung khususnya berkaitan kenaikan harga barangan keperluan. 

Sementara itu, perdana menteri,berkata kerajaan sentiasa menggalakkan penganjuran program kebudayaan pelbagai bangsa di negara ini termasuk kebudayaan kaum Cina. 

Menurutnya, kerencaman identiti dan budaya yang ada dalam kalangan masyarakat Malaysia sewajarnya merapatkan hubungan antara kaum supaya boleh mempelajari falsafah setiap budaya yang berbeza. 

Justeru, beliau menggalakkan Huazong meneruskan usaha termasuk penganjuran program kebudayaan pada masa akan datang.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong program-program anjuran agensi kerajaan demi mengukuhkan perpaduan Keluarga Malaysia," katanya.  

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan melaksanakan langkah bagi menjadikan Malaysia negara maju dan berbudaya melalui Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021. 

Katanya, Daken berperanan memartabatkan dan memelihara seni, budaya dan warisan Keluarga Malaysia agar tidak hilang ditelan zaman.

“Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan rangka tindakan, KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan pada 28 November lalu.

“Di bawah pelan ini, konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan melalui aktiviti dan program yang berteraskan perpaduan,” katanya.