- Iklan -
Berita

Kenyataan Zahid 'sanggup redah banjir' demi PRU15 disalah tafsir, kata Annuar

Menurut ahli Parlimen Ketereh itu, kenyataan tersebut tidak semestinya bermaksud PRU15 akan diadakan walaupun ketika banjir.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berucap dalam satu acara di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berucap dalam satu acara di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini telah disalah tafsir, kata Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata kenyataan Zahid itu merujuk kepada tahap siap siaga jentera BN, yang bersedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU15 walau dalam apa jua keadaan.

“Saya suka ambil pendirian positif mengenai kenyataan presiden Zahid yang menekankan sudah siap siaga kalau PRU15 ketika banjir sekali pun, tidak semestinya maksudnya nak adakan PRU15 walaupun banjir.

“Saya tolong betulkan (salah tafsir), ia bukan soal nak adakan PRU15 ketika banjir. Kenyataan ini sudah disalah ertikan kerana ia (kenyataan) tidak dikeluarkan secara dasar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan OST dan trailer filem "Seratus" di Putrajaya hari ini.

Annuar berkata demikian mengulas kenyataan Zahid ketika berucap di majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas bahawa BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Annuar berpandangan pelaksanaan PRU15 ketika musim tengkujuh sebagai suatu tindakan tidak sesuai, kerana bencana akan menjadi faktor penghalang kepada rakyat negara ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila pilihan raya diadakan, aspek kemudahan untuk keluar mengundi, suasana aman dan persekitaran selamat perlu diambil kira.

“Kalau PRU15 diadakan ketika musim banjir, mesti nak selamatkan nyawa dulu kan? Mesti mahu selamatkan harta, rumah manakala pengangkutan mungkin jadi payah. Melihat kepada situasi ini, agaknya selari tak dengan prinsip mengadakan PRU bagi memberi peluang rakyat menggunakan haknya,” kata Annuar.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lepas dilaporkan berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU15.