- Iklan -
Berita

Kertas siasatan kebocoran penghakiman Najib, Rosmah dikembalikan kepada polis

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata beberapa butiran perlu dilengkapkan mengenai kertas siasatan tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor melambai tangan ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor melambai tangan ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14. Gambar: AFP

Kertas siasatan kes kebocoran dokumen penghakiman membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, telah dikembalikan semula kepada polis bagi mendapatkan beberapa penjelasan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata kali pertama kertas siasatan itu dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 30 Ogos lepas dan kemudian kertas siasatan kes Najib dirujuk sekali lagi pada 5 September, namun dikembalikan semula bagi melengkapkan beberapa butiran yang diperlukan.

“Kami sedaya upaya cuba melengkapkan kertas siasatan itu dengan segera, setelah mendapat nasihat daripada timbalan pendakwa raya dan fokus kami ke arah itu.

“Kami akan merujuk semula kertas siasatan berkenaan kepada timbalan pendakwa raya sebaik selesai mendapatkan beberapa butiran yang diperlukan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata seramai 27 individu telah dipanggil dan direkodkan keterangan melibatkan 17 individu, bagi kes kebocoran dokumen penghakiman Najib manakala 10 lagi bagi kes Rosmah.

Pada 27 Ogos lepas, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita berkaitan dokumen berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Azmi berkata kertas siasatan kes Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS), sedang dalam siasatan dan dijangka akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya minggu ini.

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada tarikh 22, 25, 26 dan 29 Ogos lepas, di sebuah blog dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.