- Iklan -
Berita

SPRM siasat beberapa individu di Kuwait berhubung penyelewengan dana 1MDB

Ketika ini, SPRM masih menunggu keterangan dari Kuwait menerusi bantuan perundangan bersama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menjalankan siasatan berhubung isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beberapa individu di Kuwait.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama agensi penguatkuasa Kuwait sejak dua tahun lepas.

“Ketika ini, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi bantuan perundangan bersama dan perkara berkenaan masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

“SPRM sebagai antara peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB serta beberapa syarikat lain yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan setiap tindakan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang amat kompleks dan rumit. 

Selain itu, Pejabat Peguam Negara telah menolak sepenuhnya tawaran penyelesaian ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, kepada kerajaan Malaysia pada 16 Julai lepas.

Oleh itu, SPRM memohon semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan.