- Iklan -
Berita

Khairuddin menang saman berhubung penahanan menyalahi undang-undang

Khairuddin Abu Hassan hari ini memperoleh ganti rugi RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Khairuddin Abu Hassan. Gambar: Bernama
Khairuddin Abu Hassan. Gambar: Bernama

Ahli politik Khairuddin Abu Hassan hari ini memperoleh ganti rugi RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana ditahan menyalahi undang-undang, tujuh tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon membenarkan saman Khairuddin terhadap bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar, bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan enam individu lain berhubung penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Saya membenarkan tuntutan plaintif bagi tahanan menyalahi undang-undang dan memberikan ganti rugi sebanyak RM300,000. Tetapi saya menolak tuntutan plaintif untuk pendakwaan berniat jahat,” kata Quay ketika menyampaikan keputusan melalui prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Khairuddin, selaku plaintif manakala peguam kanan persekutuan Andi Razalijaya A Dadi mewakili lapan defendan.

Selain Khalid dan Apandi, enam individu yang dinamakan sebagai defendan ialah ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Habibi Majinji, timbalan pendakwa raya Masri Mohd Daud, peguam kanan persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud dan kerajaan Malaysia. 

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pada 23 Sept tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut Sosma dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.