- Iklan -
Berita

Kelantan siap siaga laksana ujian saringan cacar monyet di pintu sempadan

Menurut Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin, langkah awal ini perlu dilakukan segera susulan peningkatan kes cacar monyet di Thailand.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jabatan Kesihatan Kelantan memulakan langkah awal bagi mengelak penularan cacar monyet di mana kes mulai meningkat di Thailand. Gambar: AFP
Jabatan Kesihatan Kelantan memulakan langkah awal bagi mengelak penularan cacar monyet di mana kes mulai meningkat di Thailand. Gambar: AFP

Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK) bersiap siaga untuk melakukan ujian saringan kesihatan di pintu sempadan negara terutama kepada pengembara yang mempunyai gejala penyakit cacar monyet.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata walaupun negara ini belum mengesan penyakit tersebut tetapi langkah awal ini perlu dilakukan segera susulan peningkatan kes cacar monyet di negara jiran, Thailand.

"Semua klinik kerajaan dan swasta perlu melaporkan segera kepada JKNK sekiranya terdapat kes cacar monyet di kawasan mereka supaya pencegahan awal dapat dilakukan.

"Dari segi maklumat yang kita peroleh setakat ini, kes yang dilaporkan di Thailand bukan berlaku di wilayah yang bersempadan dengan negara sebaliknya ia membabitkan kawasan di utara Thailand dan Bangkok," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di pekarangan Wisma Persekutuan, di Kota Bharu hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Thailand mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas mesyuarat tergempar agensi kesihatan dan menteri kesihatan awam pada 28 Julai lepas.

Setakat ini, sebanyak lima kes cacar monyet disahkan di Thailand dengan kes terbaru membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata kes jangkitan penyakit seperti influenza (ILI) di Kelantan telah menunjukkan penurunan berbanding dua bulan lepas.

"Tiada lagi masalah kekurangan katil di hospital malah kes membabitkan ILI dapat ditangani dengan baik oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang bertugas," katanya.