- Iklan -
Berita

Pasukan tindakan dapati tidak bukti kukuh kait kematian doktor dengan unsur buli

Menurut analisis laporan unit integriti KKM, majoriti responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di kementerian itu adalah positif.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan Siti Hamisah Tapsir memberi taklimat pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan Siti Hamisah Tapsir memberi taklimat pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Tiada bukti kukuh bagi mengaitkan insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan unsur buli di tempat kerja, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) Siti Hamisah Tapsir. 

Beliau berkata ia adalah dapatan HWCITF selepas melaksanakan analisis ke atas Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung insiden itu.

“HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada polis menerusi siasatan mereka ke atas kes ini,” katanya pada taklimat media khas laporan Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan 2022 di Putrajaya hari ini.

HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lepas susulan insiden kematian seorang PPS di HPP selain laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan.

Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP.

Mengenai dapatan kaji selidik berkaitan budaya kerja yang disertai 110,411 pegawai dan kakitangan KKM, beliau berkata lebih 60% responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di KKM adalah positif terutamanya penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.

Katanya, insiden "burnout" (lesu upaya) dan buli serta budaya kerja kurang sihat dapat disahkan berlaku di KKM namun pada tahap yang berbeza dan bukan di semua fasiliti kesihatan KKM. 

“Didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia berlaku merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung

“Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Siti Hamisah berkata HWCITF mendapati pematuhan terhadap pelaksanaan sistem kerja fleksi PPS dalam garis panduan tidak menyeluruh dan latihan PPS tidak konsisten antara satu hospital dengan hospital lain termasuk waktu kerja PPS yang panjang.

“Justeru, HWCITF mencadangkan pendekatan yang lebih berstruktur dan konsisten melalui pematuhan dan pemantapan standard serta garis panduan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata HWCITF juga mendapati terdapat keperluan untuk mengoptimumkan bilangan sumber manusia dan kemudahan infrastruktur bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit yang terbaik.

Selain itu, kebanyakan urusan kerja masih dilaksanakan secara manual dan kekurangan pendigitalan telah menyebabkan peningkatan beban kerja yang boleh dielakkan serta melewatkan proses penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Siti Hamisah berkata HWCITF turut menggariskan 10 syor utama bagi tujuan penambahbaikan dan memperkasakan perkhidmatan kesihatan di KKM dan di kesemua fasilitinya.

Antara syor-syor tersebut adalah pendigitalan proses pengintegrasian sistem digital sedia ada, penambahbaikan sistem e-Housemen serta penubuhan kumpulan sokongan PPS dan lain-lain perkhidmatan

“Cadangan penambahbaikan budaya kerja mestilah tidak memberi kesan negatif kepada kualiti pegawai perubatan dan perkhidmatan mereka. 

“Ini kerana terdapat ramai lagi pegawai perubatan yang dilatih dalam suasana yang kondusif dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit,” katanya.