- Iklan -
Berita

RUU anti gangguan seksual akan berkuat kuasa secara berperingkat, kata menteri

Tribunal anti gangguan seksual yang akan dimulakan di Lembah Klang akan diperluas ke negeri lain.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun. Gambar: Bernama
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa Rina Harun. Gambar: Bernama

Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang diluluskan di Dewan Negara semalam akan berkuat kuasa secara berperingkat mengikut fasal setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata ia akan dimulakan dengan advokasi iaitu memberikan kesedaran, pendidikan dan pemahaman mengenai rang undang-undang itu kepada masyarakat yang akan dilakukan dalam siri jelajah seluruh negara.

“Uniknya rang undang-undang ini, ia boleh berkuat kuasa secara berfasa. Daripada 27 fasal, kita boleh kuat kuasa mengikut fasal-fasal tertentu yang dirasakan perlu disediakan.

“Selepas itu, kita juga hendak bangunkan peraturan dan garis panduan selepas ia diwartakan,” katanya dalam sidang media di Parlimen semalam.

Beliau juga berkata tribunal bagi anti gangguan seksual yang bakal dimulakan di Lembah Klang akan diperluas ke negeri dan daerah lain mengikut keperluan.

Rina berkata fasal dalam rang undang-undang itu juga memperuntuk tribunal tersebut boleh bersidang di mana-mana dan pada bila-bila waktu sekiranya terdapat keperluan selepas diputuskan oleh tribunal.

Beliau berkata mengikut fasal 4 rang undang-undang itu, tribunal hendaklah terdiri daripada presiden serta timbalan presiden yang dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan perundangan dan kehakiman.

“Selain itu, tidak kurang daripada lima anggota lain yang terdiri daripada orang yang merupakan anggota atau pernah memegang jawatan perkhidmatan kehakiman atau perundangan selain peguam bela dan peguam cara yang dilantik hendaklah tidak kurang daripada tujuh tahun pengalaman,” katanya.

Terdahulu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang AGS 2021, akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual, penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual, menggalakkan kesedaran tentang gangguan seksual dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi