- Iklan -
Berita

Zuki dilantik semula sebagai KSN bagi tempoh 2 tahun lagi

Beliau dilantik semula melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas perakuan perdana menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali. Gambar: Bernama
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali. Gambar: Bernama

Mohd Zuki Ali dilantik semula sebagai ketua setiausaha negara (KSN) secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 11 Ogos hingga 10 Ogos 2024, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan hari ini.

Pelantikan semula Zuki sebagai KSN diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas perakuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

"Pelantikan semula Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai ketua setiausaha negara masih diperlukan," menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Zuki, 60, dilantik sebagai KSN sejak 31 Disember 2019 dan merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai setiausaha persekutuan Sarawak dan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan.