- Iklan -
Berita

Kastam Pulau Pinang rampas 10.2 juta batang rokok seludup

Nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM7.4 juta termasuk cukai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
10.2 juta batang rokok yang dirampas Kastam Pulau Pinang itu dipercayai diseludup dari Asia Timur. Gambar: Bernama
10.2 juta batang rokok yang dirampas Kastam Pulau Pinang itu dipercayai diseludup dari Asia Timur. Gambar: Bernama

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 10.2 juta batang rokok seludup bernilai RM7.4 juta termasuk cukai dalam serbuan  di Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos lepas.

Pengarah Kastam Pulau Pinang Abdul Halim Ramli berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, pihak kastam Cawangan Siasatan Khas bersama Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang telah menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 1.10 tengah hari.

"Kontena itu kemudiannya telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan rapi terhadap kontena tersebut telah menemui 1,021 masterclass rokok putih atau seludup yang disyaki tidak berkastam iaitu sebanyak 10.2 juta batang rokok.

"Semua rokok seludup itu bernilai RM816,800 dan melibatkan cukai RM6.542 juta, iaitu rampasan tersebut keseluruhannya membabitkan nilai RM7.4 juta," katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam, di Bagan Jermal hari ini.

Katanya siasatan awal juga mendapati kontena membawa rokok seludup tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur.

Halim berkata berdasarkan dokumen yang diperoleh, rokok seludup itu dipercayai berasal dari negara Asia Timur dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut.

Katanya modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai cendawan dalam tin dalam bil mereka dan pihaknya juga masih menyiasat mereka membawa masuk rokok seludup tersebut berapa kali sebelum ini.

"Berdasarkan pemeriksaan pihak kami bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat yang mengimport kontena membawa rokok itu meragui termasuk alamat tidak betul malah kemungkinan menggunakan beberapa maklumat palsu.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan kerana semasa serbuan hanya terdapat ejen perkapalan sahaja, namun saya percaya berdasarkan beberapa maklumat yang kami peroleh akan  membawa ke arah penahanan suspek terlibat menyeludup rokok tersebut," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1) (e) Akta Eksais 1976.