- Iklan -
Berita

TNB adakan perbincangan, siasat gangguan elektrik pada 27 Julai lalu

Mesyuarat tersebut melibatkan Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan TNB sendiri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tenaga Nasional Berhad berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Tenaga dan kementerian tenaga berhubung gangguan elektrik pada 27 Julai lalu yang menjejaskan jutaan pengguna. Gambar: Bernama
Tenaga Nasional Berhad berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Tenaga dan kementerian tenaga berhubung gangguan elektrik pada 27 Julai lalu yang menjejaskan jutaan pengguna. Gambar: Bernama

Beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah diadakan berhubung siasatan kejadian gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri di semenanjung pada 27 Julai lepas, kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wan Nazmy Wan Mahmood.

Beliau berkata mesyuarat tersebut melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai badan bebas, pasukan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan TNB sendiri.

"Buat masa ini kita beri kerjasama penuh kepada pasukan siasatan supaya segala fakta dan maklumat berkaitan dapat dikongsikan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2019/2020 di Semenanjung Malaysia di Putrajaya hari ini.

Pada 31 Julai, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata siasatan berhubung kejadian gangguan bekalan elektrik yang membabitkan kira-kira sejuta pengguna dijangka selesai dalam tempoh sebulan dari tarikh kejadian gangguan bekalan.

Takiyuddin berkata selain memastikan punca dan kesan gangguan, siasatan itu turut meneliti dan menentukan sama ada kejadian terbabit mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) TNB atau sebaliknya, termasuk menentukan sama ada pelanggan terbabit layak diberikan rebat atau tidak.

Menurut TNB, gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di semenanjung negara sejak 12.39 tengah hari pada 27 Julai dan antara kawasan yang terlibat ialah Petaling Jaya, Cheras, Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor (Johor) dan Bandar Indera Mahkota (Pahang).