- Iklan -
Berita

Selepas pendedahan, kemiskinan haid terus dinafikan

Sebuah kumpulan advokasi berkata isu utama ketika ini adalah masih ramai yang tidak mampu membeli barang keperluan asas seperti tuala wanita.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menyapu sampah di rumah di flat kos rendah di Shah Alam, Selangor.
Seorang wanita menyapu sampah di rumah di flat kos rendah di Shah Alam, Selangor.

Aunty Kartika dan Makcik Izzah saling meminjam tuala wanita setiap kali datang bulan.

Mereka berdua sudah tujuh tahun menjadi jiran pada aras rumah yang sama di blok PPR Kota Damansara, Selangor. 

Ada ketika, kedua-dua mereka tidak mampu untuk membeli tuala wanita dan tiada yang boleh dipinjamkan. 

Sebagai ganti, kedua-dua wanita itu menggunakan kain atau lampin bayi yang sudah lama tidak digunakan ketika datang bulan. 

Mereka memberitahu keadaan itu seringkali menyebabkan mereka diserang tekanan perasan. 

"Bila datang bulan dan rasa tidak selesa Apakah lagi guna kain lampin bayi yang lama buatkan saya rasa tidak bersih.

"Saya mudah marah dan beremosi. Satu kerja rumah pun tak boleh buat sebab tak selesa dan rimas," kata Izzah kepada MalaysiaNow.

Selepas pendedahan mengenai situasi kemiskinan haid didedahkan sekitar tahun lalu, sehingga kini masalah tersebut dilihat masih dinafikan oleh masyarakat. 

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila golongan perempuan atau keluarga tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan. 

Satu gerakan advokasi kemiskinan haid di Malaysia yang menggabungkan badan bukan kerajaan dan penyelidik dikenali Peduli Merah memberitahu orang ramai masih tidak mempedulikan isu kemiskinan haid meskipun sudah mendapat liputan meluas di media. 

"Malah, ada juga yang menafikan," kata jurucakapnya, Nursyuhaidah A Razak kepada MalaysiaNow. 

Katanya, terdapat beberapa bentuk penafian yang berlegar-legar di Malaysia. 

Antaranya segelintir pihak mempercayai isu tersebut hanya rekaan atau sengaja “dilebih-lebihkan” semata-mata untuk menampakkan ianya teruk berlaku. 

"Sebab orang fikir, sangat tidak logik kalau ada yang tidak mampu untuk beli tuala wanita setiap bulan." 

Lebih menyedihkan, keadaan yang asalnya untuk menyebarkan kesedaran tentang permasalahan tersebut bertukar menjadi salah anggap. 

"Apabila ada wanita yang pilih mengandung kerana tiada haid untuk berjimat ada pula yang kata, sebab itukah orang miskin ramai anak dan buang anak? 

“Jadi isu kes buang anak pula." 

Menurut Nursyuhaidah, isu mengandung itu merupakan pengakuan daripada perempuan-perempuan tanpa kerakyatan di Sabah. 

Tinjauan MalaysiaNow di sebuah kedai serbaneka mendapti kos membeli tuala wanita untuk 14 keping kira-kira RM11 hingga RM17. 

Rata-rata wanita yang mengalami kedatangan haid secara normal memerlukan 14-20 keping tuala wanita untuk tempoh seminggu. 

Bagi isi rumah melebhi seorang wanita memerlukan kira-kira 60 keping tuala wanita setiap bulan dengan kos mencecah RM51 sebulan. 

Selain itu, kata Nursyuhaidah, ramai orang masih merasakan kemiskinan haid sebagai remeh. 

"Bagi mereka, tuala wanita pun nak dibesar-besarkan ke? Itu pun perlu diperbetulkan. 

"Kena ulang banyak kali, isu ini bukan semata-mata nak beli tuala wanita. Tetapi penyelesaian akar umbi iaitu tuala wanita adalah keperluan asas. 

"Yang patut dipersoalkan, mengapa sampai ada yang tidak mampu?" 

Pada 20 Julai, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, setakat ini kerajaan sudah membelanjakan RM2.39 juta atau 77% daripada bajet yang disediakan, untuk menyediakan tuala wanita kepada pelajar sekolah B40, serta program bersifat pendidikan tentang kebersihan.

Bagaimanapun, kata Nursyuhaidah, sehingga kini masih tiada mana-mana pihak yang mendekati pihaknya untuk menyumbang bantuan tuala wanita kepada golongan miskin bandar. 

Ini menyebabkan pihaknya sukar untuk membuat perbandingan mengenai situasi dan trend sumbangan sebelum dan selepas pandemik berlaku. 

"Biasanya memang kami dulu yang akan dekati mereka (penyumbang) dan tanya dahulu. 

"Dan tidak ada yang menolak bantuan tuala wanita sekiranya bantuan disalurkan," katanya.