- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan 1MDB dapatkan dokumen dalam saman AS$240 juta terhadap Riza Aziz

Hakim memberi masa sebulan kepada Riza dan dua syarikatnya untuk mematuhi perintah tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
1MDB memfailkan saman terhadap Riza Aziz dan dua syarikat miliknya kerana didakwa menyalahgunakan dana syarikat tersebut bagi keuntungan peribadi. Gambar: AFP
1MDB memfailkan saman terhadap Riza Aziz dan dua syarikat miliknya kerana didakwa menyalahgunakan dana syarikat tersebut bagi keuntungan peribadi. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan  1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung penzahiran dokumen dalam kes saman terhadap penerbit filem Hollywood Riza Aziz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya. 

Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza Aziz dan dua syarikat itu berkata keputusan itu dibuat hakim Amarjeet Singh yang disampaikan menerusi emel.

"Hakim memberi masa 30 hari untuk pihak-pihak defendan mematuhi perintah itu. Mahkamah juga menetapkan 12 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya," katanya ketika dihubungi pemberita.

Peguam Rabindra S Nathan dan Vanessa Thong Chon Yen mewakili 1MDB dan tiga subsidiarinya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited tersebut selaku plantif.  

1MDB memohon supaya syarikat Red Granite Pictures Incorporated serta Red Granite Capital Limited selaku defendan kedua dan ketiga menyampaikan kepada plaintif senarai dokumen yang berada atau pernah berada dalam milikan syarikat itu.

1MDB juga memohon agar kedua-syarikat itu menyampaikan kepada plaintif mengenai notis pemeriksaan iaitu tarikh, masa dan tempat di mana dokumen-dokumen  asal yang dinyatakan dalam senarai itu untuk diperiksa oleh plaintif, atau peguam atau pekerjanya.

Antara dokumen dan surat menyurat yang diminta ialah berkaitan penerimaan dana sebanyak AS$10,173,104 oleh defendan kedua (Red Granite Pictures Incorporated) dan "representasi" yang dikatakan  dibuat kepada defendan pertama (Riza Aziz) bahawa wakil keluarga diraja Saudi bersetuju untuk memberi pinjaman kepada Riza Aziz bagi tujuan perniagaan defendan-defendan.

Selain itu, dokumen pembeliaan hartanah di New York, California dan London termasuk invois, nota kredit, baucar pembayaran dan resit berkaitan dengan pemindahan dana daripada akaun Red Granite Capital kepada suatu akaun faedah atas peguam ) yang dipegang oleh firma guaman Shearman & Sterling LLP (Shearman US) di Amerika Syarikat pada Jun 2012 dan November 2012. 

Dokumen lain ialah surat menyurat berkaitan dengan penerimaan dana berjumlah AS$238 juta oleh defendan ketiga (Red Granite Capital Limited) dan semua surat menyurat antara defendan-defendan dan BSI Singapore berkaitan dengan penerimaan dana itu.

1MDB dan tiga subsidiarinya itu memfailkan permohonan itu pada 28 Januari lepas, memohon dokumen-dokumen berkenaan bagi membantu plaintif dalam membuktikan tuntutan mereka selain membolehkan plaintif memperoleh maklumat lanjut untuk menyokong tuntutan dalam saman tersebut.

Dalam  saman yang difailkan pada 7 Mei tahun lepas, ketiga-tiga plaintif  mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Aziz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$248 juta daripada mereka yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana itu untuk kepentingan peribadi dan kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Aziz bertanggungjawab atas salah guna dana  itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan.

Riza Aziz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan mendakwa memperoleh pinjaman berkenaan daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat, bukan daripada dana 1MDB.

Beliau mendakwa sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, oleh sebab itu beliau memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat.