- Iklan -
Berita

Ahli perniagaan sanggup bayar Najib RM19 juta untuk hentikan siasatan rasuah Guan Eng

Bagaimanapun Pengarah Consortium Zenith Zarul Ahmad tidak pasti sama ada wang itu diterima bekas perdana menteri itu atau tidak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Saksi utama dalam perbicaraan Lim Guan Eng hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah yang didakwa rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak, bagi menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli Parlimen Bagan itu.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau membuat bayaran tersebut kerana tidak mahu “gigit tangan yang orang yang memberinya makan", memandangkan Lim, yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, telah memberikan beliau projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo, Zarul berkata beliau mahu melindungi Lim sehingga sanggup merasuah Najib bagi menghentikan siasatan terhadap Lim berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang terpalit kontroversi.

Menurut saksi pendakwaan ke-23 itu, beliau membuat bayaran RM19 juta itu melalui seorang ahli perniagaan, G Gnanaraja yang didakwa rapat dengan Najib bagi menghentikan siasatan rasuah terhadap Lim.

Ketika ditanya lebih lanjut, Zarul bagaimanapun tidak dapat memberikan kepastian sama ada wang tersebut diterima oleh Najib atau tidak.

Gobind: Najib adalah perdana menteri dan ketua Barisan Nasional (BN) pada 2017. BN adalah parti pembangkang bagi kerajaan Pulau Pinang.

Zarul: Ya.

Gobind: Jadi anda bayar bos (BN) mereka untuk lindungi Lim?

Zarul: Ya.

Bagaimanapun Gobind mempertikaikan bahawa perkara itu adalah mustahil dan tidak masuk akal untuk Zarul membayar Najib demi melindungi Lim, kerana menurut peguam bela itu, jika beliau (Zarul) mahu melindungi Lim, saksi itu tidak akan membayar Najib, kerana Najib adalah musuh politiknya.

Zarul kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah logik kepadanya, kerana pada masa itu beliau terdesak untuk memastikan Lim dilindungi dan kerajaan BN tidak akan buat apa-apa kepada Lim.

Gobind juga mencadangkan bahawa Zarul juga bersedia untuk berbohong dalam usaha menyelamatkan dirinya daripada diambil tindakan undang-undang ketika membuat kenyataan media pada 2018, yang beliau berkata tidak terdapat sebarang elemen rasuah dalam projek terowong bawah tanah itu, kerana ia dibuat secara sah.

Gobind: Bukti anda di mahkamah semalam bahawa anda telah berbohong pada sidang media, dalam usaha melindungi Lim adalah tidak benar.

Zarul: Anda perlu melihat kepada keseluruhan konteks. Saya telah diminta untuk membuat keseluruhan kenyataan.

Gobind: Jadi saya katakan, anda tentunya bersedia untuk berbohong untuk menyelamatkan diri.

Zarul: Saya tidak setuju.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.