- Iklan -
Berita

Kami tidak pernah melompat parti, kata 4 Adun Bersatu Pulau Pinang

Mereka berkata keputusan Mahkamah Persekutuan boleh menyebabkan penyalahgunaan Perkara 14A dalam Perlembagaan Pulau Pinang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Adun bergambar bersama speaker di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Gambar: Facebook
Adun bergambar bersama speaker di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Gambar: Facebook

Empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang dari Bersatu hari ini berkata mereka tidak pernah melompat parti di mana dua daripadanya dipilih di atas platform Bersatu sementara dua lagi yang sebelum ini bertanding atas tiket PKR, dipecat daripada parti itu.

Sehubungan itu, mereka berkata akan mengarahkan peguam untuk mengkaji perkara tersebut selain turut menyatakan kebimbangan jika keputusan itu boleh menyebabkan kerajaan menyalahgunakan peruntukan dalam Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang.

“Kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, namun kami tidak bersetuju dengannya.

“Kami telah mengarahkan peguam kami untuk mengkaji semula perkara tersebut bagi membolehkan kami melaksanakan tugas sebagai Adun.

“Peruntukan itu terdedah kepada penyalahgunaan. Ia telah digunakan secara salah terhadap kami,” kata mereka dalam sebuah kenyataan.

Pada 2020, Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) memfailkan tiga writ saman terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020 sebelum menyertai Bersatu sementara Khaliq dan Zolkifly adalah ahli Bersatu.

Usul DUN tersebut adalah berdasarkan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Susulan, saman mereka, DUN dan speaker Pulau Pinang yang diwakili Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan itu ke Mahkamah Persekutuan tahun lalu.

Dalam kenyataan sama, mereka berkata parti politik tidak boleh mempunyai kuasa mutlak mengatak dan menentukan keputusan eseorang wakil rakyat.

“Sebagai seorang wakil yang terpilih, kami mewakili semua rakyat di kawasan kami.

“Kami akan membuat keputusan berdasarkan apa yang kami rasakan adalah dalam kepentingan dan keperluan terbaik pengundi kawasan kami dan bukan hanya atas tuntutan parti,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Pembentangan usul supaya keempat-empat mereka mengosongkan kerusi mereka turut ditangguhkan sementara menunggu selesai proses saman itu.

Ketua menteri Chow Kon Yeow juga berkata nasib mereka akan ditentukan oleh exco Pulau Pinang pada Jumaat ini.