- Iklan -
Berita

Penumpang kecewa AirAsia jual semula tiket dibatalkan dengan harga lebih tinggi

Uwe Guenther, dari Zurich, Switzerland, berkata tiket penerbangannya yang telah dibatalkan dijual semula untuk jadual penerbangan yang lebih awal.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bagasi dimasukkan ke dalam pesawat AirAsia, sementara penumpang menunggu di platform sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
Bagasi dimasukkan ke dalam pesawat AirAsia, sementara penumpang menunggu di platform sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Seorang penumpang AirAsia berang dan meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendapat tahu syarikat penerbangan tambang murah itu menjual semula tiket penerbangan yang dibatalkan sebelum ini.

Terdahulu, Uwe Guenther, dari Zurich, Switzerland sebelum ini menceritakan kisahnya apabila terpaksa berbelanja lebih untuk membeli enam tiket penerbangan baru kerana penerbangan asal bersama AirAsia dari Bali ke Labuan Bajo - Komodo Island dibatalkan.

Bagi penerbangan domestik itu, Guenther membayar jumlah keseluruhan sebanyak AS$364.72 (RM1,623) untuk enam tiket termasuk bayaran memilih tempat duduk.

Guenther yang bekerja sebagai jurutera awam itu kemudiannya membuat keputusan untuk membeli enam tiket baru bersama Batik Air selepas dia mendapat tahu penerbangannya bersama AirAsia tidak akan berlepas mengikut jadual.

Tidak lama kemudian, Guenther dimaklumkan pada awal Julai menerusi emel bahawa penerbangannya yang sepatutnya berlepas pada 18 Ogos 2022 dibatalkan - pengumuman yang sememangnya dia sudah jangkakan sebelum ini.

Susulan itu, Guenther menerima bayaran balik dalam bentuk kredit sebanyak AS$163.53 (RM727.71) iaitu kurang daripada separuh daripada nilai bayaran harga tiket.

Uwe Guenther.
Uwe Guenther.

Ekoran insiden ini, Guenther meluahkan rasa marah apabila dia mendapat tahu AirAsia menjual semula tiket penerbangan tersebut menerusi dalam talian.

Berdasarkan tangkap layar yang ditunjukkan Guenther, penerbangan itu dijadual berlepas hari sama, cuma waktu berlepas ditukar 30 minit lebih awal. 

Malah, semakan MalaysiaNow turut mengesahkan nombor penerbangan QZ 644 adalah sama dengan tiket penerbangan yang dibeli Guenther pada Mac 2022.

"AirAsia yang membatalkan penerbangan saya dan kemudian memberi bayaran balik secara kredit yang nilainya lebih rendah daripada separuh harga bayaran, kini menjual tiket penerbangan sama dengan harga yang lebih tinggi," katanya kepada MalaysiaNow.

"Apa masalah dengan syarikat penerbangan ini. Penerbangan saya sepatutnya pada jam 9.00 pagi, mereka batalkan dan menjual semua pada jam 8.35 pagi."

MalaysiaNow cuba mendapatkan penjelasan AirAsia tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, MalaysiaNow hanya menerima kenyataan media mengenai kempen promosi syarikat itu yang dihantar oleh salah seorang pegawai komunikasi AirAsia.

Emel tersebut diterima kira-kira 30 minit selepas penjelasan diminta mengenai situasi penjualan tiket berkenaan.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati kes hampir sama berlaku pada Jun lalu apabila perbuatan itu didedahkan seorang penumpang yang membeli tiket penerbangan AirAsia ke Pulau Langkawi.

Pada 17 Jun lalu, seorang penumpang AirAsia, Jai Rihan, tampil menceritakan kisahnya kepada MalaysiaNow apabila penerbangannya yang patut berlepas ke Pulau Langkawi pada jam 11.35 pagi bertarikh 18 Jun 2022 ditunda ke jam 5.00 petang hari sama.

Apa yang membuatkan Jai berang ialah dia mendapat tahu penerbangan pada jam 11.35 pagi itu sebenarnya masih ada cuma ia dijual pada harga berganda.

Namun disebabkan dia mendedahkan perkara itu di Facebook, status yang dimuat naiknya menjadi viral sebelum orang ramai mengecam tindakan syarikat penerbangan tambang murah tersebut.

"Jika saya ingin tukar penerbangan ke waktu asal yang saya beli, saya perlu membayar lebih.

"Penerbangan saya hanya tinggal seminggu lagi, dan alasan yang diberikan ialah isu operasi," katanya dalam muat naik tersebut.

Dalam muat naik itu, Jai turut meluahkan rasa marah apabila dia tidak berpuas hati dengan tindakan AirAsia sambil mempersoalkan bagaimana syarikat tersebut boleh menerima anugerah sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik.

AirAsia ketika dihubungi MalaysiaNow pada ketika itu mengesahkan kes ini sudah diselesaikan apabila Jai kembali dapat menaiki penerbangan mengikut waktu penerbangan asalnya.