- Iklan -
Berita

Setelah hampir 30 tahun, mengapa masih tidak ramai gunakan KTM Komuter?

Antara rungutan utama pelanggan adalah mereka terpaksa menunggu ketibaan tren dalam tempoh lama selain kurang kemudahan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menunggu tren sampai di stesen KTM Komuter Seputih.
Seorang wanita menunggu tren sampai di stesen KTM Komuter Seputih.

Sudah 30 tahun perkhidmatan KTM Komuter beroperasi sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang.

Namun ia sering menjadi sasaran ulasan buruk penumpang yang kecewa kerana terpaksa menunggu lama di stesen dan kurang sambungan antara perkhidmatan pengangkutan lain.

Sebagai salah satu pengangkutan sistem rel, sukar bagi KTM Komuter untuk bersaing dengan LRT dan MRT yang lebih efisien dan pantas.

Bagaimanapun, perkhidmatan KTM Komuter untuk bergerak sekitar Lembah Klang tidak seteruk yang digambarkan dalam media sosial, namun ia sememangnya memerlukan beberapa penambah baikan.

Tinjauan MalaysiaNow ketika menaiki KTM Komuter baru-baru ini, mendapati mod pengangkutan awam berkenaan memang tidak dapat menandingi perkhidmatan seperti LRT dan MRT, namun ia juga mempunyai beberapa kelebihan.

Tinjauan ini dilakukan susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham, yang menyatakan bahawa keadaan trafik semakin sesak disebabkan ramai lebih gemar memandu kenderaan sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, kenyataan itu menerima kecaman terutama di media sosial apabila beberapa individu mencabar Rani untuk menggunakan perkhidmatan KTM Komuter supaya beliau sendiri lebih arif mengenai keadaan pengangkutan awam itu.

Hasil tinjauan MalaysiaNow, mendapati antara isu utama yang menyebabkan ramai pengguna enggan memilih perkhidmatan KTM Komuter ialah kerana kekerapan tren tiba ke stesen.

Kekerapan tren ini bagaimanapun boleh dijangkakan kerana terdapat jadual ketibaan tren ke stesen yang mana maklumat tersebut boleh dimuat turun di laman sesawang KTMB bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka.

Tetapi, masalah utama melibatkan perkara ini ialah apabila penumpang terlepas tren yang disasarkan kerana mereka perlu menunggu lama, malah waktu menunggu boleh mencecah hingga 40 minit berbanding hanya beberapa minit jika menaiki LRT atau MRT.

Keadaan ini sekali gus diterjemah sebagai pengangkutan yang tidak efisien oleh pengguna dan situasi ini sering menjadi keluhan pengguna di media sosial.

Fasiliti teruk

Isu seterusnya ialah melibatkan fasiliti.

Ketika tinjauan dilakukan, terdapat beberapa stesen seperti Stesen Seputeh yang tidak mempunyai kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) dan pengguna kerusi roda.

Apabila tiba ke stesen ini, pengguna harus melintas platform menggunakan jejantas sekiranya ingin keluar daripada stesen tersebut.

Ini menjadi masalah kerana tiada kemudahan lif disediakan.

Oleh itu, pengguna yang menaiki tren dari laluan Pulau Sebang (Tampin) ke Batu Caves perlu menganjak ke stesen Midvalley sebelum berpatah balik ke Stesen Seputeh semata-mata ingin menyeberang ke platform sebelah.

Keadaan ini juga sama di Stesen Tiroi apabila pengguna kerusi roda perlu anjak ke Stesen Kajang sebelum berpatah balik kerana tiada akses untuk menyeberangi platform di stesen tersebut.

Selain isu ini, terdapat juga beberapa aduan yang diterima MalaysiaNow mengenai kekurangan pencahayaan menyebabkan pengguna agak bimbang berada di kawasan stesen KTM Komuter ketika waktu malam.

Bagaimanapun, isu-isu ini lebih tertumpu di kawasan stesen kecil berbanding stesen tumpuan seperti KL Sentral.

Cheong Sze Hong, 43, yang sering menggunakan perkhidmatan tren sejak 20 tahun lalu, turut menyatakan antara sebab ramai memilih untuk memandu berbanding menggunakan perkhidmatan tren adalah disebabkan jarak stesen dan kawasan perumahan.

"Contohnya saya, stesen MRT terdekat  Stesen Taman Connaught.

“Walaupun ia terletak hanya satu kilometer dari rumah, tiada akses pejalan kaki untuk ke stesen tersebut," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ini menyebabkan saya perlu memandu dan meletakkan kereta di stesen sebelum menaiki MRT.

"Tetapi apabila saya mendapati trafik tidak sesak, kemungkinan besar saya akan memandu."

Menceritakan pengalamannya menggunakan semua perkhidmatan tren sekitar Lembah Klang, Cheong bagaimanapun mengakui perkhidmatan KTM Komuter merupakan perkhidmatan tren yang paling murah terutama jika dibandingkan dengan LRT dan MRT.

Malah, dia ada kalanya dia memilih KTM Komuter berbanding perkhidmatan tren lain disebabkan destinasi.

"Kelebihan KTM Komuter adalah ia menawarkan banyak destinasi yang tidak ada dalam laluan LRT dan MRT.

"Oleh itu, sekiranya saya malas memandu, saya akan menaiki KTM Komuter," katanya.

Mengulas mengenai isu berkaitan penggunaan KTM Komuter, Cheong menyifatkan masalah ini sama seperti soalan "ayam dan telur - mana datang dulu".

Beliau berkata, ia kerana penggunaan KTM Komuter ini kurang dapat sambutan disebabkan kedua-dua pihak iaitu pihak KTMB dan juga pengguna.

"Pengguna inginkan kekerapan tren dipertingkatkan dan fasiliti yang cantik, tetapi apa gunanya jika pihak KTMB lakukan semua itu kemudian penumpang tidak mencapai kapasiti yang disasarkan?"

"Perkara ini harus diteliti dulu. Jika inginkan pihak KTMB meningkatkan kecekapan KTM Komuter, sudah tentu perlu ada sambutan dari pengguna," katanya.