- Iklan -
Berita

RUU ‘penamat rokok’ untuk cegah ketagihan, bukan larangan merokok serta-merta, kata doktor

Persatuan Perubatan Malaysia berkata tujuan di sebalik Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 adalah pencegahan awal bagi ketagihan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Jika diluluskan, RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Jika diluluskan, RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meningkatkan sokongannya terhadap rang undang-undang (RUU) Kementerian Kesihatan bagi membanteras tabiat merokok sejak usia muda, mengatakan RUU yang turut disebut sebagai generasi penamat rokok (GEG) bukan bertujuan untuk melaksanakan larangan serta-merta terhadap tabiat itu sebaliknya, bagi menyelamatkan generasi akan datang daripada ketagihan rokok.

"Kami faham kumpulan industri tertentu mungkin tidak gembira dengan langkah tersebut, tetapi kami percaya sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengutamakan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat," kata presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan hari ini.

“Negara akan mendapat keuntungan dari segi ekonomi dengan tidak perlu menanggung beban rakyat yang menghidap penyakit berkaitan penggunaan tembakau dan Evali (kecederaan paru-paru akibat  penggunaan rokok elektronik atau produk vape),” tambahnya.

"Keseluruhan idea di sebalik GEG adalah untuk mencegah ketagihan kepada produk ini."

RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Kawalan Merokok 2022 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 27 Julai lalu.

Perbahasan mengenai topik itu diteruskan di Dewan Rakyat hari ini.

Jika diluluskan, RUU itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Ia juga melarang pemilikan dan penggunaan alat merokok sebagai tembakau dan bahan merokok, dengan pesalah boleh didenda sehingga RM5,000.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata RUU itu adalah untuk melindungi generasi masa depan negara daripada terlibat dalam tabiat merokok dan ketagihan, dan untuk mengurangkan peratusan perokok di Malaysia kepada kurang dari 5% menjelang 2040.

Statistik kerajaan dari 2019 menunjukkan bahawa satu dari lima rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok.

Ia juga mendapati 17% daripada mereka yang berumur 13 hingga 15 tahun adalah perokok, begitu juga 9% kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Dalam pada itu, Koh berkata ketagihan adalah "penyakit yang amat sukar untuk dirawat".

“Kita perlu mencegah ketagihan awal dengan tidak membenarkan anak-anak kita melakukan tabiat tidak sihat itu,” tambahnya.

"Kita semua tahu dan boleh melihat sendiri kanak-kanak seawal usia 14 tahun turut bereksperimen dengan rokok dan produk vape. Apabila mereka mencecah usia 20-an, mereka boleh menjadi ketagih jika tidak ketagih sewaktu remaja."

Beliau turut menggesa ahli Parlimen supaya tidak mengecewakan suara majoriti rakyat dalam perkara ini, selain meminta Kementerian Kesihatan tetap meneruskan pelaksanaan GEG.

“Walaupun dengan larangan penjualan rokok kepada mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, kita tetap tidak dapat menghalang generasi baru daripada merokok.

“Dengan pelaksanaan yang baik, penguatkuasaan dan sokongan orang ramai, kami percaya GEG akan berkesan dalam mencegah perokok dan penghisap vape pada masa yang akan datang,” katanya.