- Iklan -
Berita

Saya tiada niat reka cerita kait Guan Eng dalam kes rasuah, kata pengarah Zenith

Menurut Zarul, beliau terhutang budi kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar:: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar:: Bernama

Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau terhutang budi kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Zarul, 62, berkata beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk mereka-reka keterangan dan mengaitkan nama Lim dalam kes rasuah pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Saya tiada niat untuk mereka cerita terhadap YB Lim kerana saya terhutang budi dengan beliau. Saya kalau boleh tidak mahu mengaitkan beliau dalam mana-mana kes,” katanya pada perbicaraan kes Lim.

Beliau berkata beliau mengarahkan bekas pengarah dan bekas naib presiden kanan kewangan dan perkhidmatan korporat CZCSB, iaitu Ibrahim Sahari dan Azli Adam untuk menggunakan invois dan baucar bayaran yang dipalsukan, untuk menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada Lim.

Saksi pendakwaan ke-23 itu dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini berkata Lim meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikatnya dalam projek pembinaan itu.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada arahan untuk memalsukan invois dibuat untuk mengelakkan dirinya disiasat dan bukan bagi mempertahankan Lim, Zarul berkata langkah membuat invois palsu itu diambil agar nama Lim tidak terdapat dalam mana-mana akaun CZCSB.

Zarul berkata selepas dibebaskan daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal Januari 2018 berhubung siasatan kes rasuah tersebut, beliau telah berjumpa dengan Ibrahim serta Azli dan memberitahu perkara sebenar iaitu invois dan baucar berkenaan adalah pembayaran kepada Lim.

Ditanya Wan Shaharuddin mengenai dua kenyataan yang dikeluarkannya kepada pihak media pada Julai 2018, Zarul Ahmad berkata Lim telah mengarahkannya supaya berbuat demikian bagi mengelak CZCSB disiasat lanjut oleh SPRM.

“Saya terima arahan daripada Lim supaya mengeluarkan kenyataan media itu untuk menampakkan seolah-olah saya dipaksa ketika memberikan kenyataan kepada SPRM berkenaan kes rasuah terowong itu,” katanya.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017. 

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan dari Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. 

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 4 Ogos ini.