- Iklan -
Berita

Persatuan pengguna selar ‘pelobi tembakau’, gesa ahli Parlimen isytihar kepentingan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sudah lama tertangguh.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 RUU itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007. Gambar: AFP
RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 RUU itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007. Gambar: AFP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ahli Parlimen atau kakitangan mereka supaya mengisytiharkan sebarang kepentingan dalam industri tembakau berikutan laporan pelobi industri itu dilihat hadir di bangunan Parlimen ketika kerajaan dalam usaha meluluskan rang undang-undang (RUU) yang bakal melarang tabiat merokok terhadap mereka yang lahir selepas 2007.

Menyifatkan ia sebagai satu “tindakan terang-terangan oleh pelobi untuk campur tangan dalam urusan Parlimen,” Presiden CAP Mohideen Abdul Kader  berkata ia juga melanggar peruntukan dalam Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC). 

"Mengiktiraf kuasa daripada pengaruh dan campur tangan industri tembakau, Perkara 5.3 dengan jelas menyatakan bahawa: 'Dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam berkenaan kawalan tembakau, pihak-pihak terlibat hendaklah bertindak untuk melindungi dasar-dasar ini daripada kepentingan komersial dan lain-lain kepentingan industri tembakau mengikut undang-undang negara'," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

Beliau menambah Malaysia sudah meratifikasi FCTC pada September 2005 dan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sudah lama tertangguh.

“Bagi meneruskan RUU 2022, Kementerian Kesihatan berhak membela kesihatan semua rakyat Malaysia dengan melaksanakan kewajipan antarabangsanya, dan melindungi generasi akan datang dengan secara berani memperkenalkan generasi penamat rokok bagi mereka yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 ke atas," katanya. 

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU yang turut dinamakan sebagai undang-undang generasi penamat rokok itu di Dewan Rakyat.

Jika diluluskan, RUU itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Ia juga melarang pemilikan dan penggunaan alat merokok sebagai tembakau dan bahan merokok, dengan pesalah boleh didenda sehingga RM5,000.

Khairy berkata RUU itu adalah untuk melindungi generasi masa depan negara daripada terlibat dalam tabiat merokok dan ketagihan, dan untuk mengurangkan peratusan perokok di Malaysia kepada kurang dari 5% menjelang 2040.

CAP berkata RUU itu adalah langkah penting dalam melaksanakan obligasi Malaysia di bawah FCTC.

“Pemantauan CAP terhadap industri tembakau sejak beberapa tahun lalu mendapati banyak tindakan industri dalam usahanya menghalang malah menggagalkan pelaksanaan FCTC, dan ia juga boleh dilihat di negara-negara lain di seluruh dunia,” kata Mohideen.

“Adalah baik untuk diingatkan apa yang disebut oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laman sesawangnya bahawa FCTC ‘adalah perjanjian berdasarkan bukti menegaskan semua orang berhak untuk mendapatkan tahap kesihatan terbaik’ dan ia ‘dibangunkan sebagai respons terhadap globalisasi epidemik tembakau’.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.