- Iklan -
Berita

Gangguan bekalan elektrik pulih sepenuhnya

TNB berkata punca gangguan bekalan elektrik hari ini adalah akibat kerosakan di salah satu peralatan Pencawang Masuk Utama Yong Peng North di Johor.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tenaga Nasional Berhad berkata gangguan bekalan elektrik hari ini berjaya dipulihkan pasukan teknikalnya seawal 20 minit gangguan.
Tenaga Nasional Berhad berkata gangguan bekalan elektrik hari ini berjaya dipulihkan pasukan teknikalnya seawal 20 minit gangguan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata bekalan elektrik di seluruh kawasan terjejas berjaya dipulihkan sepenuhnya pada pukul 3.02 petang tadi.

Dalam sebuah kenyataan, TNB berkata bekalan elektrik di kawasan yang terjejas berjaya dipulihkan seawal 20 minit gangguan berlaku oleh pasukan teknikalnya.

Menurut TNB gangguan itu berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama Yong Peng North di Johor.

Kerosakan tersebut mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di semenanjung Malaysia.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.”

Awal hari ini, beberapa kawasan dilaporkan ketiadaan elektrik termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Ampang dan Kuala Lumpur.

Gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan di Kuantan, Pahang dan Seremban, Negeri Sembilan.

Kali terakhir Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik besar pada 2005, apabila sebahagian besar kawasan terputus bekalan elektrik sepenuhnya berikutan kerosakan pada pencawang masuk utama di Selangor.