- Iklan -
Berita

Penguatkuasaan subseksyen Sosma dilanjut 5 tahun lagi

Usul lanjutan itu diluluskan setelah undi belah bagi menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju sementara 21 lagi tidak hadir.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail polis meronda di sekitar kawasan Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Gambar fail polis meronda di sekitar kawasan Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Usul dibawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.

Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis yang berpangkat penguasa polis atau berpangkat lebih tinggi daripada penguasa boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.

Pada 23 Mac lepas, usul lanjutan Subseksyen 4(5) akta itu tidak diluluskan ketika dibentang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.