- Iklan -
Berita

UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Dr Mahathir, kata saksi

David Tan Siong Sun berkata sumbangan politik turut diberi kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar di dalam komputer riba milik saksi itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek visa luar negara (VLN) hari ini.

Ketika ditanya Zaidi, adakah Mahathir menerima sumbangan politik, saksi itu menjawab, “Ya dan parti (Bersatu)”.

Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah bahawa sumbangan dana itu dibayar melalui anak saudara (Mahathir) iaitu Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama "Kedahan".

Zaidi: Kenapa anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?

Tan: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.

Zaidi: Bahawa RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?

Tan: Betul.

Tan turut memberitahu mahkamah bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut diberi sumbangan politik daripada UKSB melalui sahabat baik ahli politik itu, Teo Wee Cheng yang juga merupakan pengarah syarikat SHH Resources Sdn Bhd.

Saksi itu turut bersetuju dengan Zaidi bahawa dana yang diterima Zahid adalah dana politik.

Zaidi: Adakah anda melihat Mahathir dan Muhyiddin di mahkamah di sebelah Zahid?

Tan: Tidak.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya S$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.