- Iklan -
Berita

Penjualan berleluasa rokok seludup ancam usaha haramkan tabiat itu

Kadar peratusan yang tinggi dalam kalangan perokok berpendapatan rendah menimbulkan persoalan bagaimana kerajaan akan menguatkuasakan larangan penjualan rokok di kawasan luar bandar.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
RUU yang melarang penjualan rokok kepada generasi muda dilihat boleh membantu golongan berpendapatan rendah di mana kos untuk tabiat itu boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.
RUU yang melarang penjualan rokok kepada generasi muda dilihat boleh membantu golongan berpendapatan rendah di mana kos untuk tabiat itu boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.

Muhammad Nazleen menghisap tiga hingga lima batang rokok setiap hari.

Ada ketika, jumlahnya tidak menentu dan mencapai hingga tujuh batang sehari.

Sejak usianya masuk 16 tahun, pemuda yang mesra disapa sebagai Naz itu berkata, dia mula merokok akibat terpengaruh dengan rakan-rakan sekolah.

Ketika itu, dia hanya mampu membeli sebatang rokok dengan rakan pada harga serendah RM1.50 selepas habis waktu sekolah.

"Habis sekolah, memang beli sendiri kat kedai. Sampai sekarang dalam 20 kotak (rokok) sebulan," katanya kepada MalaysiaNow.

Naz kini menetap di Bandar Baru Salak Tinggi Sepang dan bekerja sebagai jurujual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dengan pendapatannya sebanyak RM2050 sebulan, dia menganggarkan sebanyak RM400 hingga RM650 dihabiskan untuk membeli rokok.

Sekotak rokok yang dibeli sekitar harga RM17.

Kira-kira sebanyak 20 hingga 30 kotak rokok dibeli dalam sebulan.

Di Malaysia, demografi perokok tertinggi di Malaysia terdiri daripada kumpulan B40 yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah had pendapatan RM4,850.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pembentangan rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau dan merokok di Parlimen.

RUU berkenaan turut mencadangkan larangan penjualan rokok kepada individu yang lahir selepas 2005 bagi menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara pada masa akan datang.

Sehingga kini, cadangan tersebut menerima pelbagai reaksi dengan ramai persatuan dan pengusaha restoran tidak bersetuju.

Manakala, satu pihak lain pula berpandangan pengharaman rokok dan vape dapat melindungi kumpulan berpendapatan rendah yang dilihat lebih banyak merokok daripada kumpulan berpendapatan tinggi.

Kos sara hidup yang semakin tinggi dilihat akan lebih terbeban sekiranya golongan B40 tidak berhenti merokok yang menelan kos ratusan ringgit setiap bulan.

Penduduk luar bandar tidak bersetuju

Sementara itu, sekumpulan penduduk kampung di daerah Gemas, Negeri Sembilan tidak bersetuju dengan cadangan KKM mengharamkan rokok dengan mengatakan ianya seperti paksaan.

Sebaliknya, mereka berkata KKM perlu memfokuskan kepada mendidik generasi muda mengapa tidak boleh merokok.

Kata penoreh getah mahu dikenali sebagai Zali, 33 tahun, pengharaman rokok dan vape tidak bermaksud generasi tersebut akan berhenti atau melupakan kegiatan tersebut.

Tetapi, ianya memberikan ruang kepada pihak lain menjual dan mengedar rokok secara haram kepada golongan tersebut.

"Sekarang, orang kampung mana mampu hidup rokok beli kat kedai. Orang kaya sahaja yang mampu.

"Ramai beli rokok seluduplah. Di Seremban, Nilai, banyak kedai tomyam. Budak-budak dia bawa masuk rokok dari Thailand yang murah," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Zali, sekotak rokok seludup yang mudah didapati berharga RM9 hingga RM13 sekotak.

Katanya, dengan harga tersebut, penduduk kampung hanya menghabiskan kos kira-kira RM150 sebulan untuk membeli rokok.

"Orang kampung macam orang tua merokok lepas menoreh getah, angkat sawit, tebas hutan.

"Paling banyak pun dua batang sahaja sehari. 10 kotak sebulan pun dikira banyak. Orang muda mungkin lebih," katanya.

Atas sebab itu, katanya, di kawasan kampung amat jarang sekali mendengar orang mengeluh mengenai isu rokok mahal kerana bekalan rokok seludup tidak pernah berhenti.

Malaysia pernah direkodkan sebagai negara dalam kedudukan tertinggi perdagangan rokok haram.

Sebanyak 64.5% daripada jumlah rokok yang dijual di negara adalah rokok haram.

Kira-kira 12 bilion batang rokok seludup yang dijual dalam setahun.

Cadangan KKM melecehkan

Seorang peniaga kedai makan di pekan Gemencheh mahu dikenali sebagai Ashraf berkata, sekiranya RUU tersebut diterima dan diluluskan ianya mungkin tidak dipatuhi memandangkan peniaga sukar mendapatkan pengesahan identiti dan umur daripada pelanggan.

Katanya, sepanjang pengalaman menjalankan perniagaan di waktu pandemik, dia sudah berurusan dengan ramai pelanggan yang enggan menunjukkan status vaksin pada aplikasi MySejahtera.

"Kalau nak tunjuk kad pengenalan untuk bukti umur, saya rasa lagi susah nak dapat. Mungkin peniaga banyaknya akan biarkan sahaja. Benarkan beli atau tidak.

"Itu pun risiko. Macam mana kerajaan nak pastikan peniaga-peniaga macam kat kampung ini patuhi peraturan?

"Semua ini melecehkan," katanya.

Sehingga kini, KKM masih belum memberikan butiran tentang cara melaksanakan cadangan tersebut.

Pembentangannya di Parlimen dijangka akan memberi penjelasan kepada strategi dan kaedah penguatkuasaan sewajarnya.

RUU kawalan tembakau dan merokok dinantikan banyak pihak terutama sekali pakar-pakar kesihatan awam yang mempunyai kebimbangan terhadap trend merokok di Malaysia.

Bagaimanapun, RUU tersebut masih belum disenaraikan pada persidangan Parlimen sejak 18 Julai lalu.