- Iklan -
Berita

Peniaga mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap Najib, Rosmah

Syed Ahmad Saifullah Hashim berdepan hukuman penjara dan denda RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi yang jelik terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, lapan tahun lepas.

Syed Ahmad Saifullah Hashim, 33, selaku orang kena saman (OKS) didakwa memuat naik satu kiriman: "Pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah” melalui aplikasi Facebook “Syed Saifullah”.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014  dan hantaran itu kemudiannya dibaca pada 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul pada 4 April 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan pendakwa raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan OKS tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial berkaitan kes tersebut.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia menjaga ibu bapanya yang menghidapi penyakit kronik.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan OKS diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta melarangnya membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial berkaitan kes itu sehingga kes selesai dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes.