- Iklan -
Berita

Hanya projek baru, bukan keutamaan ditangguh, kata menteri

Mustapa Mohamed berkata projek-projek dalam pelaksanaan, telah dikeluarkan iklan tender, surat niat dan surat setuju terima akan diteruskan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed berkata projek-projek yang dibiayai Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan akan terus dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed berkata projek-projek yang dibiayai Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan akan terus dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed menjelaskan jenis projek yang ditangguhkan dalam langkah penjimatan kerajaan baru-baru ini membabitkan projek baru dan sedia ada yang belum melalui proses perolehan.

Katanya, selain itu projek yang ditangguh ialah projek bukan keutamaan dan tidak mempunyai impak segera, selain projek baru sedia ada yang menghadapi masalah.

"Projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan, telah dikeluarkan iklan tender, surat niat dan surat setuju terima akan diteruskan.

“Selain itu, projek-projek yang dibiayai daripada Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang mustahak dan telah diluluskan akan terus dilaksanakan.

"Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19," katanya pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang mahu kerajaan menjelaskan perancangan berkaitan dasar penangguhan dan pembatalan projek-projek baru.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan langkah penjimatan bagi berdepan kemelesetan ekonomi dan inflasi yang tinggi.

Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli memaklumkan, sebanyak 30 projek dikenalpasti dalam sesi libat urus antara kementerian-kementerian dengan kos RM100 juta untuk ditangguhkan.

Ketika menjawab soalan tambahan Fahmi, Mustapa berkata projek Transit Aliran Massa (MRT) 3, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dan Lebuh Raya Pan-Borneo akan diteruskan.

Tender MRT 3 dibuka pada April lalu dan kos dianggarkan pada RM31 bilion, manakala tahap pembinaan ECRL berada pada 29% sehingga April lalu.

Lebuh Raya Pan-Borneo telah mencapai tahap lebih 80% dan dijangka siap dalam masa lima tahun lagi.