- Iklan -
Berita

Langkah penjimatan tidak jejas aspek keselamatan negara, kata Ismail

Perdana menteri menegaskan aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan dan projek seperti pembinaan kem atau kawalan sempadan tidak akan terjejas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Projek melibatkan angkatan tentera seperti pembinaan kem dan kawalan sempadan negara tidak akan terjejas di sebalik langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan. Gambar: Bernama
Projek melibatkan angkatan tentera seperti pembinaan kem dan kawalan sempadan negara tidak akan terjejas di sebalik langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah penjimatan perbelanjaan yang diambil kerajaan tidak akan menjejaskan aspek keselamatan negara.

Beliau menegaskan aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan negara dan projek seperti pembinaan kem atau berkaitan kawalan sempadan tidak akan terjejas.

“(Aspek) keselamatan tidak akan terjejas dengan (penjimatan ini), keselamatan tetap diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN22) dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di Putrajaya hari ini.

Pada Sabtu (16 Julai), dilaporkan kerajaan akan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan memuktamad dan mengeluarkan waran sekatan bagi memaklumkan jumlah peruntukan yang akan dikurangkan.

Menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia - Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan, MOF berkata ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik antarabangsa serta kenaikan mendadak harga komoditi global dan makanan telah mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi.

Ismail berkata perincian lanjut mengenai langkah penjimatan perbelanjaan yang akan dilaksanakan itu akan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.