- Iklan -
Berita

SPRM reman 37 individu bantu siasatan penyelewengan RM100 juta insentif PenjanaKerjaya

Mahkamah Majistret di 11 negeri mengeluarkan perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 70 tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Empat individu dari 37 suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. Gambar: Bernama
Empat individu dari 37 suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman 37 individu hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Menurut sumber, perintah reman ke atas 26 lelaki dan 11 wanita berusia 28 hingga 70 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Di Putrajaya, 11 individu direman empat hari hingga 17 Julai (Ahad) manakala di Selangor, permohonan reman tiga hari dibenarkan terhadap lima individu hingga Sabtu ini.

“Di Johor, reman selama tujuh hari dibenarkan terhadap seorang individu dan enam hari terhadap dua individu hingga 19 dan 20 Julai. Perintah reman selama tujuh hari hingga 20 Julai ini dibenarkan terhadap seorang individu di Kedah dan masing-masing dua individu di Pahang dan Perak,” kata sumber itu malam tadi.

Beliau berkata perintah reman enam hari dibenarkan terhadap dua individu di Pulau Pinang hingga 19 Julai.

“Sementara itu, perintah reman selama lima hari dikeluarkan terhadap dua individu masing-masing di Melaka dan Perlis, tiga individu di Kuala Lumpur dan empat individu di Negeri Sembilan hingga 18 Julai ini,” katanya.

Menurut sumber, kesemua individu yang terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif itu ditahan dalam Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara semalam dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Setakat ini, operasi yang dijalankan tersebut melibatkan 66 buah syarikat dengan nilai akaun dibekukan melebihi RM7 juta daripada 36 akaun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata beberapa tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes itu.