- Iklan -
Berita

Kluster mahkamah Umno mungkir janji berundur sehingga kes selesai

Nazri Aziz berkata kluster mahkamah yang kini menguasai Umno dilihat tidak lagi terikat dengan persetujuan yang telah dibuat dalam parti itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (kanan) dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi mengetuai sekumpulan ahli Parlimen Umno yang dikenali sebagai kluster mahkamah. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak (kanan) dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi mengetuai sekumpulan ahli Parlimen Umno yang dikenali sebagai kluster mahkamah. Gambar: AFP

Umno pernah membuat persepakatan bahawa mana-mana individu yang terpalit dengan kes-kes mahkamah perlu mengundurkan diri dan memberi tumpuan kepada perbicaraan masing-masing, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz. 

Katanya, persetujuan itu dicapai semua pihak terlibat pada tahun 2009 di mana antara yang bersetuju termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

"Kini, mereka menguasai parti. Tidak terikat dengan persetujuan itu," katanya dalam satu forum di Singapura hari ini. 

Pada Julai 2020, Najib disabitkan bersalah dalam jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International. 

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib.

Manakala, pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi. 

Musuh Umno adalah Umno sendiri 

Ketika ditanya oleh penonton yang hadir sama ada Umno mahu meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengenai sokongan pembangkang terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata pihak parti amat berbesar hati untuk menyambung usaha itu. 

Bagaimanapun katanya, musuh utama parti itu adalah Umno sendiri apabila terdapat suara sumbang yang tidak mahu meneruskan persefahaman datang dari kalangan pemimpin parti itu.

"Yang menentang MoU bukanlah dari pihak pembangkang. Tetapi dalam parti kami. Mereka yang dalam Umno.

"Saya bimbang tentang Umno. Tidak bimbang tentang PAS atau Bersatu. Umno adalah musuh terbesar kita pada masa ini." 

Beliau turut mengulas, desakan sesetengah pemimpin Umno untuk menamatkan MoU dan mengadakan PRU15 segera.

"Tetapi datang dari parti saya sendiri, kenapa? Kepentingan peribadi. Nak elak kes mahkamah.

"Apa yang akan berlaku kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah? Ini memalukan dan tidak masuk akal," katanya. 

Bercakap lebih lanjut, Nazri berkata Umno bukan berada dalam zon yang boleh ghairah meminta apa sahaja yang mereka kehendaki. 

Ini kerana mereka hanya ada 42 orang ahli Parlimen di Dewan Rakyat. 

"Kami tidak dominan (tetapi mempunyai) keinginan untuk apa yang kami mahu, nak tidur dengan parti ini, parti itu. 

“Ianya bukan pilihan. Kami tidak mempunyai pilihan pun,” katanya.