- Iklan -
Berita

Mengapa undang-undang kawal selia dana politik penting?

Pakar undang-undang Haidar Dziyauddin berkata undang-undang kawal selia dana kewangan organisasi politik sudah menjadi amalan biasa di negara lain dan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pihak pendakwaan membawa fail dokumen kes rasuah 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Pihak pendakwaan membawa fail dokumen kes rasuah 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Ketiadaan undang-undang khusus untuk mengawal pemberian dana politik menimbulkan kesukaran bagi badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan sama ada wang atau sumbangan yang diterima ahli politik sememangnya bertujuan menyokong perjuangan parti mereka atau rasuah, kata pakar undang-undang.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Haidar Dziyauddin berkata, disebabkan situasi ini, mana-mana parti politik boleh menerima sebarang sumbangan dengan jumlah tanpa had.

Malah, amalan yang tidak terkawal ini dilihat memberi ruang kepada aktiviti meragukan atau digunakan sebagai cara untuk "menghalalkan" sumbangan dan penggunaan dana.

Bagaimanapun, katanya, walaupun pihak berkuasa boleh mengambil tindakan pemula kerana wujud kesangsian terhadap aktiviti pengumpulan wang dalam akaun, ini tidak bermakna kes tersebut akan disabitkan di mahkamah.

"Malah, terdapat beberapa kes di mahkamah yang mana dana politik dijadikan alasan untuk membersihkan pengumpulan wang yang terdapat dalam akaun peribadi mereka," katanya kepada MalaysiaNow.

"Apa yang diperlukan adalah saksi yang mengaku memberi sumbangan tersebut dengan bukti transaksi untuk tujuan dana politik."

Isu berkaitan dana politik sebelum ini menarik perhatian ramai apabila terdapat beberapa laporan  mengaitkan pemimpin-pemimpin parti politik termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak apabila mereka disiasat susulan penemuan wang tunai yang begitu banyak oleh pihak berkuasa di rumah atau akaun bank mereka.

Seperti contoh, pada Mei 2018, polis menyita wang tunai berjumlah RM114 juta di Pavilion Residence kerana wang itu disyaki mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Bagaimanapun, pada Mei 2021, Mahkamah menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai tersebut kerana tiada bukti mengaitkan wang itu dengan 1MDB atau aktiviti jenayah.

Malah, Najib turut menjelaskan bahawa wang tunai tersebut merupakan sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain kes ini, pemberian dana politik juga disebut dalam kes perbicaraan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi apabila Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khun, memberitahu mahkamah pada 19 Mei lalu bahawa wang yang diberikan syarikat itu kepada bekas timbalan perdana menteri itu bukan rasuah dan ia merupakan dana politik.

Lee sebelum itu dilaporkan berkata bayaran kepada bekas timbalan perdana menteri itu bermula pada akhir 2014 dengan bayaran S$200,000 sebulan sebelum ia meningkat kepada S$520,000 sebulan pada 2017.

Menurut Haidar yang juga penasihat undang-undang UiTM, pemberian dana politik akan terus berlaku selagi tiada undang-undang yang mengawal perkara itu, malah, pihak terlibat sama ada pemberi atau penerima juga tidak mempunyai tanggungjawab untuk mendedah atau mengistiharkan sumbangan tersebut.

Katanya, ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila keadaan ini kemungkinan akan disalah guna untuk meraih kepentingan dan faedah “secara pintu belakang” dan tidak adil.

"Jika ada parti politik memiliki dana dan aset yang banyak di luar kemunasabahan, sudah pasti ia akan menimbulkan pertanyaan dan keraguan.

"Kesangsian masyarakat terhadap kesahan sumber sudah pasti tidak dapat dielak dan orang ramai berhak mengetahui kerana mereka terlibat dalam proses  demokrasi pembentukan kerajaan yang melibatkan kepentingan awam," katanya.

Pada Mei, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik penting kerana tiada peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak daripada risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik.

Bagaimanapun, RUU ini masih belum dibawa ke Parlimen memandangkan ia perlu dibincangkan bersama ahli Kabinet terdahulu sebelum berbincang bersama parti politik.

Sementara itu, Haidar berkata, undang-undang ini bukan satu perkara baru kerana ia sudah dipraktikkan di kebanyakan negara-negara lain.

Katanya, Malaysia juga sewajarnya tidak ketinggalan untuk mewujudkan ekosistem yang telus bagi menawan keyakinan masyarakat.

"Selagi wujud kelompong yang menimbulkan kesangsian, ia boleh menghakis keyakinan terhadap pihak pemerintah.

"Tanggapan liar dan tohmahan akan susah dibendung apabila sudah bertunas dalam masyarakat.

"Oleh itu, pihak terlibat perlulah telus dalam perbuatan mereka agar kesangsian masyarakat berubah menjadi keyakinan dan ini boleh dicapai melalui pengenalan undang-undang baru," tambah beliau.