- Iklan -
Berita

Penyulam Sarawak hidupkan warisan tudung keringkam

Setiap tudung yang halus buatannya boleh menelan kos ribuan ringgit, namun penjagaan dan kerja menghasilkannya tiada tolok banding nilainya.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ros Salleh, penggiat seni sulaman keringkam Sarawak di Kampung Darul Islam Belimbing Puncak Borneo melipat tudung hasil sulaman tangannya.
Ros Salleh, penggiat seni sulaman keringkam Sarawak di Kampung Darul Islam Belimbing Puncak Borneo melipat tudung hasil sulaman tangannya.

Matahari baru sahaja memancarkan sinar pagi di ufuk timur, namun di Puncak Borneo, Sarawak, Ros Salleh sudah sibuk bekerja.

Sambil duduk di ruang tamu, Ros memeriksa benang bersalut emas yang digunakan untuk menyulam beberapa bentuk rekaan keringkam di atas bingkai kayu di hadapannya.

Ros merupakan salah seorang daripada sebilangan penyulam tudung keringkam di Sarawak.

Wanita itu akan menghabiskan masa selama berjam-jam setiap hari bagi menyempurnakan sulaman tradisional Melayu Sarawak itu.

Sehelai tudung dengan sulaman keringkam yang rumit boleh mencecah harga sehingga puluhan ribu ringgit.

Namun keringkam yang dihasilkan Ros lebih mampu milik dengan harga kira-kira RM2,000 sehelai.

Harga keringkam bergantung kepada kerumitan reka bentuk, kualiti benang yang digunakan, dan saiz tudung.

"Semakin besar saiznya, semakin tinggi harganya," kata Ros dalam temu bual bersama MalaysiaNow baru-baru ini.

Harga bagi segulung benang emas boleh mencecah RM200 ketika ini.
Harga bagi segulung benang emas boleh mencecah RM200 ketika ini.

Pada asalnya, keringkam disulam menggunakan benang emas berkualiti tinggi demi memastikan warna sulaman kekal dan tahan lama.

Keringkam yang baik boleh mengekalkan kualitinya menjangkaui 15 hingga 20 tahun.

Bagaimanapun, proses menghasilkan keringkam berkualiti tinggi sedemikian memerlukan kemahiran yang tinggi dan memerlukan tempoh yang lebih lama.

Sehelai tudung keringkam yang Ros hasilkan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.

“Ia bukan mudah, kerana perlukan masa yang lama selain kesabaran dan kemahiran tinggi terutama dari segi sulaman,” katanya.

“Setiap jahitan perlu dibuat dengan teliti supaya benang bersalut emas tidak putus, dan coraknya kemas dan rapi.

"Setiap helai benang juga perlu diambil kira bagi memastikan motifnya seimbang, jika tidak, sulaman akan kelihatan tidak cantik dan kualiti akan jatuh."

Seperti kebanyakan penyulam keringkam lain, Ros lebih gemar menggunakan benang yang diimport dari Turkiye dan India kerana ia lebih berkualiti.

Setiap dua bulan, dia akan menempuh perjalanan sejauh 55km ke Kuching untuk mengambil pesanan benang di Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid.

Shajahan Sayed Ahmad di Kedai Salih Ahmad, Jalan India.
Shajahan Sayed Ahmad di Kedai Salih Ahmad, Jalan India.

Namun, sejak kebelakangan ini, penghantaran pesanannya sering lambat menyebabkan Ros terpaksa menunggu beberapa minggu sebelum stok benang yang baru tiba.

Lumrah seperti barangan lain, apabila bekalan menurun, harga benang juga akan meningkat.

Pada satu ketika, satu gulung benang emas berkualiti tinggi berharga kira-kira RM90.

Namun hari ini, satu gulung benang itu boleh mencecah harga sehingga RM200.

Menurut Ros, untuk membuat satu helai sulaman keringkam, dia memerlukan sekurang-kurangnya 30 gulung benang emas.

Seorang tenaga pengajar seni sulaman keringkam, Esmanani Jawari berkata harga tinggi sulaman warisan itu adalah kerana bahan yang diperlukan untuk membuatnya tidak mudah untuk diperolehi di negara ini.

"Benang itu tidak ada di Kuching, atau di mana-mana tempat lain dalam negara ini," katanya.

"Sebab itu kita perlu import dari negara lain."

Di Sarawak, hanya terdapat satu sahaja kedai kain yang menjual bahan yang diperlukan untuk pembuatan sulaman keringkam: Salih Ahmad di India Street.

Di sana, banyak pilihan benang emas yang diimport dari India dijual kepada penggiat sulaman keringkam.

Pemilik kedai, Shajahan Sayed Ahmad berkata dia membawa masuk komoditi berharga itu sejak tujuh dekad lalu.

Menurutnya, hanya ada sedikit isu mengenai penghantaran barangan di kedainya, mengatakan ada masalah lain berkait isu itu.

“Sejak enam bulan lalu, bilangan penyulam keringkam yang datang ke kedai saya tidak ramai,” katanya.

"Malahan, pelanggan tetap saya, penyulam lama sudah jarang datang."