- Iklan -
Berita

Mampukah kenderaan elektrik kurangkan pencemaran alam?

Walaupun kenderaan itu diuar-uarkan sebagai alternatif yang lebih bersih dalam pembakaran enjin, namun persoalan tetap timbul mengenai dakwaan tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan elektrik sering diuar-uarkan dan dianggap sebagai alternatif kereta yang menggunakan bahan api petrol atau diesel.
Kenderaan elektrik sering diuar-uarkan dan dianggap sebagai alternatif kereta yang menggunakan bahan api petrol atau diesel.

Kenderaan elektrik (EV) menjadi buah mulut sejak beberapa dekad lepas, selepas orang ramai dan dunia korporat mula memberi perhatian kepada pencemaran alam yang terhasil daripada penggunaan petrol.

Mengikut garis masa yang disediakan oleh Jabatan Tenaga Amerika Syarikat, teknologi tersebut dicipta seawal kurun ke-19.

“Wagon” elektrik pertama dicipta di Iowa, Amerika Syarikat.

Menjelang 1935, minat terhadap EV terhapus dengan pembuatan jalan raya yang lebih baik selain harga minyak yang lebih murah mengakibatkan kenderaan berkuasa petrol mengambil alih pasaran.

Kini minat itu dihidupkan semula.

Kebimbangan mengenai pelepasan karbon dioksida daripada enjin kenderaan bermotor dilaporkan sebagai punca utama pemanasan global dan perubahan iklim mendadak.

Namun apakah EV benar-benar boleh menggantikan kenderaan petrol bagi menyelamat alam sekitar?

Ketua Pegawai Eksekutif Independence-X Aerospace Sdn Bhd Mohd Izmir Yamin berkata, kelemahan ketara EV dalam soal penjagaan alam sekitar terletak pada pencemaran melombong bahan lithium untuk pembuatan bateri, manakala pelupusan bateri toksik turut memberi kesan kepada alam sekitar.

Namun ia tidak bermakna EV harus ditolak.

Langkah kerajaan mengecualikan duti untuk EV dalam Belanjawan 2022 dilihat sebagai sesuatu yang baik.

"Ia adalah langkah bijak jika diambil kira ekosistem EV dan rancangan masa hadapan," katanya kepada MalaysiaNow.

Syarikat beliau membangunkan sistem dron, tenaga diperbaharui seperti hidrogen dan thorium, serta teknologi angkasa lepas.

Namun, katanya beberapa persoalan wajar dijawab berhubung penggunaan EV di negara ini.

"Jika kereta EV mempunyai bateri sahaja, bagaimana dengan stesen pengecas dan pelupusan bateri? Jika ia merupakan EV hidrogen, bagaimana dengan stesen pengisian hidrogen?"

Seorang pakar automotif, Chips Yap pula berkata, dalam aspek pengeluaran karbon, EV memerlukan elektrik yang diperoleh daripada stesen janakuasa.

Pengoperasian stesen ini juga mengeluarkan karbon.

"Jika permintaan untuk elektrik meningkat akibat penggunaan EV, stesen janakuasa juga akan beroperasi dengan lebih intensif, sekali gus meningkatkan kadar pengeluaran karbon," katanya.

Menurutnya, penggunaan EV juga harus memikirkan pek bateri yang berfungsi ibarat “tangki minyak” dalam EV.

Selain memerlukan bahan nadir, ia mengeluarkan karbon dioksida sehingga 150 kilogram untuk setiap 1 KiloWatt sejam (kWh) kapasiti bateri.

Keupayaan EV untuk berjalan sejauh 500km menurut Yap memerlukan pek bateri yang mempunyai kapasiti storan 60kWh yang bermakna 9 tan karbon dioksida perlu ditambah dalam penghasilan kenderaan.

"Ini merupakan impak negatif dari perspektif alam sekitar. Ia tidak disebut sangat oleh mereka yang mempromosikan EV," katanya.

Namun menurut Yap, Malaysia sebagai anggota komuniti antarabangsa wajar memikirkan penyelesaian untuk membantu dalam agenda alam sekitar.

Jika EV tidak mampu menjadi solusi jangka masa pendek dan sederhana, kerajaan boleh mengenakan regulasi yang lebih ketat terhadap pengeluaran karbon daripada enjin pembakaran.

Ini kerana pembuat kenderaan boleh menyokong usaha tersebut memandangkan mereka sudah mempunyai teknologi enjin yang lebih canggih dalam aspek piawaian pengeluaran karbon.

"Sekiranya Malaysia tidak menaikkan piawaian, ada bahayanya kita menjadi pasaran yang mana hanya teknologi lama digunakan, dan selepas beberapa ketika, akan terbukti menjadi mahal kerana tiada pihak menghasilkan enjin mengikut piawaian lama," tambahnya.

Dalam pada itu, Izmir berkata, antara teknologi alternatif yang tersedia ialah EV hidrogen seperti yang dipakai dalam Toyota Mirai, selain EV nuclear yang pernah dikonsepkan dalam kenderaan Ford Nucleon satu ketika dahulu.

Izmir menjangkakan penggunaan petrol dapat digantikan oleh EV dalam jangka masa lima tahun.