- Iklan -
Berita

Saya tak persoal sumber sumbangan RM7 juta ahli perniagaan kepada yayasan, kata Zahid

Menurut Zahid, beliau bersangka baik apabila menerima sumbangan kerana ia diberikan bagi aktiviti keagamaan dan amal.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mempersoal sumber sumbangan berjumlah RM7 juta kepada Yayasan Akalbudi (YAB) yang diterima daripada dua ahli perniagaan.

Zahid, 69, berkata beliau bersangka baik apabila menerima sumbangan itu kerana ia diberikan kepada YAB bagi aktiviti keagamaan dan amal kebajikan, bukan untuk kepentingan dirinya.

“Saya mesti bersangka baik jika sumbangan itu diberikan kepada YAB kerana tentunya ia adalah untuk kerja-kerja kebajikan kerana YAB juga menjalankan kerja-kerja kebajikan kepada orang bukan Islam, bukan hanya di Parlimen Bagan Datuk tetapi juga di beberapa tempat lain apabila ada masalah banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong mengenai sumber sumbangan RM5 juta yang diterima daripada pemborong tekstil Junaith Asharab Md Shariff dan RM2 juta daripada tukang emas Mubarak Hussain Akhtar Husin.

“Individu terbabit bukan ahli kongsi gelap dan polis tidak menjalankan siasatan terhadap mereka. Ia membabitkan isu integriti, saya tidak boleh mempersoal niat mereka untuk membuat sumbangan itu dan sebarang sumbangan saya anggap derma kepada YAB,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata beliau tidak merekodkan penerimaan sumbangan itu kerana ia dikreditkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co iaitu firma guaman yang mengendalikan dana YAB.

“Terdapat dakwaan bahawa wang sumbangan yang diterima dimasukkan ke dalam akaun saya namun ia tidak benar dan menyalahi undang-undang. Cek sumbangan diberikan kepada Tetuan Lewis & Co yang mengendalikan dana YAB,” katanya.

Zahid tidak bersetuju dengan cadangan Harris Ong bahawa beliau bebas melakukan apa sahaja dengan sumbangan yang diterima atas nama kebajikan.

Beliau berkata sumbangan itu digunakan mengikut garis panduan dan objektif penubuhan YAB bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan serta membantu golongan yang memerlukan.

Menyentuh pengeluaran dana YAB sebanyak RM17.9 juta bagi membantu anaknya Nurulhidayah mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan sebuah hotel butik di Bali, Indonesia,  Ahmad Zahid berkata ia dilakukan bukan untuk kepentingan anaknya dan diri sendiri.

Harris: Dana YAB adalah daripada penderma untuk kerja-kerja kebajikan kepada orang Islam dan bukan Islam namun pelaburan (Ri-Yaz) telah lari daripada objektif.

Zahid: Berdasarkan kepada objektif pemegang amanah YAB dan M&A (Memorandum dan Artikel Persatuan), pelaburan dilakukan untuk menjana pendapatan tambahan bagi melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

Bagaimanapun, beliau kemudian bersetuju dengan Harris bahawa tiada arahan bertulis berhubung pengeluaran dana YAB sebanyak RM17.9 juta itu.

Pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan bekas timbalan perdana menteri itu membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.