- Iklan -
Berita

Hakim bakal lawat 2 banglo dalam kes rasuah Zahid

Collin Lawrence Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes tersebut.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi akan melawat dua unit banglo di Country Heights, Kajang yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata beliau bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.

“Saya fikir demi kepentingan keadilan, saya bersetuju dengan permintaan untuk lawatan tapak, tapi kita boleh tetapkan lain kali. Kita boleh tetapkan tarikh kemudian,” katanya dalam prosiding bela diri Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid berkata pihaknya menjemput hakim Sequerah untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

Menurut Hisyam, lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.

Hakim Sequerah bertanyakan kepada pihak pendakwaan, adakah mereka ingin membantah mengenai lawatan itu, timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berkata tiada keperluan untuk pihaknya melawat dua banglo tersebut kerana gambar yang menunjukkan keadaan banglo boleh dikemukakan di mahkamah.

“Jika Yang Arif cenderung untuk pergi melawat, mungkin kita boleh ambil hari lain, bukan kali ini, tidak bertembung (tarikh perbicaraan),” katanya.

Sebelum itu, Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika disoal balas timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkenaan jarak antara dua banglo berkenaan dengan kediaman Zahid.

Harris: Setuju dengan saya, Datuk Seri nak solat jemaah boleh ke Surau An-Nur Country Heights?

Zahid: Saya memberitahu tanpa rasa riak, sombong, bahawa saya adalah pengerusi surau itu (Surau An-Nur). Ikut kesempatan boleh solat di sana atau surau lain dan rumah saya pun ada surau.

Mengenai pembelian dua banglo di Country Heights bernilai RM5.9 juta, Zahid berkata beliau menyatakan secara terus kepada peguam di Tetuan Lewis & Co iaitu B. Muralidharan tentang pembelian banglo tersebut.

“Saya tidak pasti siapa yang menyediakan cek pembelian banglo itu yang ia boleh diuruskan sendiri oleh Muralidharan, pegawai akaun atau kerani firma itu,” katanya.

Kepada soalan Harris, daripada mana Zahid memperoleh nilai banglo itu, Zahid menjawab: “Laporan penilaian. Banglo itu dibeli di bawah harga pasaran yang bertujuan untuk kebajikan dan perkembangan ilmu, selaras dengan kehendak Yayasan Akalbudi”.

Sementara itu, Zahid berkata tiada surat rasmi dalam melantik Lewis & Co sebagai pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi, sebaliknya pelantikan itu atas dasar persefahaman dan kepercayaan terhadap firma guaman berkenaan.

“Pelantikan itu (Lewis & Co) selepas saya hilang kepercayaan kepada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) ketika itu, kerana terlalu cuai dan membuat kesilapan berulang kali dalam pengendalian akaun Yayasan Akalbudi,” tegasnya.

Harris: Setuju dengan saya bahawa surat pelantikan perlu dibuat bagi memastikan perkara sama (kecuaian) tidak berulang?

Zahid: Tiada surat rasmi. Saya kenal Muralidharan begitu lama, saya percaya beliau, selain mendapatkan nasihat rakan Muralidharan serta bekas peguam. Setakat ini tiada kecuaian yang dilakukan oleh firma itu dalam mengendalikan dana YAB.

Zahid berkata surat pelantikan tersebut tidak penting jika ada persefahaman dan persetujuan dan beliau tidak diminta oleh Muralidharan dan rakan kongsi untuk membuat surat berkenaan.

Harris: Atas alasan itu, Datuk Seri boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi firma itu untuk kepentingan sendiri?

Zahid: Tiada niat, apatah lagi berbuat demikian.

Perbicaraan di hadapan hakim Sequerah bersambung.