- Iklan -
Berita

Sanggup pinjam ‘ceti haram’ bida nombor pendaftaran kenderaan?

Selepas sistem bida dibawa ke platform dalam talian, kira-kira tiga juta orang sudah berdaftar dengan sistem JPJeBid untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan idaman masing-masing dengan harga yang amat tinggi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Peniaga nombor pendaftaran kenderaan Wallace Choy berkata terdapat golongan yang akan mensasarkan nombor pendaftaran satu digit mengikut negeri kegemaran masing-masing.
Peniaga nombor pendaftaran kenderaan Wallace Choy berkata terdapat golongan yang akan mensasarkan nombor pendaftaran satu digit mengikut negeri kegemaran masing-masing.

Pada tahun 2019, nombor pendaftaran khas “Malaysia 1” mencatat rekod bidaan paling tinggi bagi nombor pendaftaran satu digit berjumlah RM1,111,111 sekaligus mengalahkan rekod sebelumnya bernilai RM989,000 bagi nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan “V1”.

Sebelum pengenalan kerajaan memperkenalkan sistem pembidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian pada 2019, penglibatan orang ramai untuk membida nombor pendaftaran kenderaan amat terhad.

Nama-nama kerabat diraja dan kenamaan seringkali dikaitkan dengan bidaan tertinggi seperti dibuat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang membayar RM520,000 untuk mendapatkan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan “WWW 1″ pada tahun 20212.

Dua tahun kemudian, Sultan Ibrahim juga memenangi bidaan nombor pendaftaran” W1N” dengan harga bernilai RM748,000.

Selepas sistem bida dibawa ke platform dalam talian, kira-kira tiga juta orang sudah berdaftar dengan sistem JPJeBid untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan idaman masing-masing dengan harga yang amat tinggi.

Ironinya, di waktu rakyat Malaysia mula mengadu dan merintih kerana terkesan dengan kos sara hidup yang makin tinggi, statistik bidaan nombor pendaftaran pula menunjukkan trend sebaliknya.

Persoalannya, siapakah mereka di dalam bilangan yang besar itu?

Seorang peniaga nombor pendaftaran kenderaan, Wallace Choy dari syarikat Auto Plate Division (APD) di Petaling Jaya, Selangor berkata sehingga kini pembida-pembida utama ialah golongan orang kenamaan (VIP) dan pemimpin politik.

Katanya, golongan ini akan memberi sasaran utama kepada nombor pendaftaran satu digit mengikut negeri kegemaran masing-masing.

“Setakat ini, yang paling tinggi dari negeri Johor. Banyak nombor-nombor negeri Johor ini tidak diberi peluang kepada rakyat untuk dibida sebab sultan Johor sudah banyak ‘lock’ nombor-nombor seperti 1, 2 dan seterusnya,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

“Kadang-kadang tak ada satu pun nombor satu digit yang boleh dibida untuk negeri Johor. Jadi, ramai orang sebenarnya sanggup berbelanja besar untuk dapatkan nombor satu digit dari negeri Johor yang biasanya bernilai ratusan ribu ringgit.”

Manakala bagi beberapa negeri seperti Selangor dan Perak, agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri membuat tempahan awal kepada siri-siri nombor pendaftaran yang ingin digunakan pada kenderaan-kenderaan rasmi masing-masing.

“Bagaimana sistem untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan untuk mereka ini, saya tak pasti.

“Mungkin mereka sudah membuat tempahan awal dengan membayar bayaran minimum bidaan supaya tiada siapa boleh membida nombor-nombor tersebut,” kata Choy.

Selain itu, individu yang menjadi pengumpul tegar dan peminat siri-siri pangkal huruf dan nombor khas turut menyumbang kepada bilangan yang ramai.

Katanya golongan-golongan ini sanggup mengeluarkan belanja besar untuk dapatkan kombinasi nama dan nombor yang terbaik dalam pasaran memandangkan setiap kombinasi mempunyai populariti yang berbeza.

“Ada segelintir huruf dan nombor ini boleh dijadikan nama ataupun ada makna-makna dia. Jadi, mereka (pembeli) sanggup berbelanja besar.”

Dengan mengambil contoh, siri nombor pendaftaran kenderaan “TCM” yang baru sahaja selesai mendapat sambutan yang amat menggalakkan khususnya dalam kaum Cina kerana kombinasi huruf tersebut boleh membawa makna nama pembeli seperti Tan Chin Meng (TCM).

Tidak dilupakan juga, segelintir pihak yang dikenali sebagai ejen jual nombor plat kenderaan turut menjadi pembida tegar dalam sistem JPJeBid.

Mereka ini akan membida dan membeli nombor-nombor pendaftaran kenderaan yang menarik, kemudiannya dijual semula dengan harga yang lebih tinggi.

“Pembeli-pembeli yang terlepas tempoh bidaan akan cari ejen untuk dapatkan nombor-nombor yang mereka mahu.

“Selepas itu, mereka kena bayar lebih sikit memandangkan ejen sudah dahulukan duit dan masa mereka untuk dapatkan nombor tersebut,” kata Choy.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan keghairahan pembida untuk memiliki nombor idaman masing-masing berkurangan apabila pelayan atau server bagi aplikasi JPJeBid tidak dapat menampung jumlah pengguna yang ramai.

Meskipun sudah mendapat kritikan dan aduan secara meluas di media sosial, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilihat masih belum mengatasi permasalahan tersebut.

MalaysiaNow masih menunggu maklum balas dan respons dari JPJ berhubung dakwaan berkenaan.

Sanggup berhutang

Bercerita lebih lanjut, Choy berkata trend membida nombor pendaftaran kenderaan berlaku dalam semua jenis kaum dan peringkat umur muda dan tua.

Pengguna internet merungut mengenai platform JPJeBid yang digunakan bagi membida nombor pendaftaran kereta idaman mereka.

Masing-masing dilihat mempunyai pemikiran dan citarasa yang berbeza apabila bercakap tentang huruf dan nombor idaman.

“Kalau dulu, orang Cina memang tak akan minat nombor empat sebab bawa maksud mati. Sekarang, anak-anak muda sangat suka sebab nombor itu kelihatan macam anda duduk bersilang kaki seperti seorang bos.

“Jadi, nombor empat sangat laku untuk dibida,” katanya sambil menambah nombor yang paling tidak digemari oleh semua orang adalah nombor 8481 kerana kelihatan seperti perkataan “BABI” apabila disusun.

Sementara itu, seorang pesara anggota JPJ yang mahu dikenali sebagai Rosli dari Seremban, Negeri Sembilan berkata dirinya aktif menjadi ejen jualan nombor pendaftaran kenderaan sejak berkhidmat di dalam jabatan tersebut.

Ketika dalam perkhidmatan, dia akan membuat hebahan kepada kenalan tentang siri nombor dan huruf terbaru untuk dibida.

Ketika itu, sistem bidaan masih dibuat secara manual di kaunter-kaunter JPJ.

Selepas bersara pada tahun 2017, dia menjadi pembida dan membeli nombor-nombor yang menarik untuk dijual kepada orang yang berminat.

Malah, dia turut menawarkan perkhidmatan “buru nombor plat” dengan kadar upah serendah RM500.

“Ada pembeli nak beli nombor-nombor pendaftaran yang lama sebab ada nilai-nilai sentimental dalam hidup mereka. Saya pernah dapat pelanggan cari huruf RF diikuti empat digit akhir yang merupakan nombor badannya dalam PDRM.

“Saya jumpa nombor itu kerana semakan dalam sistem mendapati ianya sudah didaftarkan. Pemilik asal jual dengan harga RM11,000 kepada pesara pegawai polis itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Rosli berkata dia sudah mengendalikan banyak permintaan pelanggan yang mempunyai pelbagai karenah termasuk macam-macam cerita suka dan duka.

Sebagai contoh, sepasang kawan zaman persekolahan dapat dijejaki dengan mengesan lokasi pendaftaran nombor pendaftaran kenderaan.

Tetapi, lebih mengejutkan Rosli apabila beberapa pelanggannya mengakui terpaksa berhutang dengan ceti haram sehingga menjadi buruan kumpulan-kumpulan penjenayah.

Katanya, mereka ini terdiri daripada pelanggan dari kaum Melayu yang tidak mempunyai sistem kewangan stabil namun berdegil untuk membayar nombor idaman dengan harga yang tinggi.

“Satu kes yang saya dapat apabila pelanggan minta saya jual semula nombor mereka untuk bayar hutang.

“Ada kes yang saya sendiri dihubungi pihak Ah Long bertanyakan alamat mereka bekerja sedangkan saya tidak kenal mereka. Urusan jual beli semuanya dalam WhatsApp sahaja.”

Menurut Rosli, disebabkan proses membeli dan membida nombor pendaftaran kenderaan tidak memerlukan syarat-syarat seperti dokumen bank, penyata gaji dan surat tawaran kerja menyebabkan pasaran tersebut dibuka secara meluas.

“Bila mereka ini tidak bijak untuk membuat bidaan dan keputusan, akhirnya memakan diri dan membawa kerugian.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.