- Iklan -
Berita

Tajuddin boleh sertai PAS pada bila-bila masa, kata Takiyuddin

Takiyuddin berkata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu boleh menyertai PAS bagi meneruskan karier politiknya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman boleh menyertai PAS bila-bila masa untuk kelangsungan karier politiknya, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

“Siapa sahaja boleh sertai PAS (termasuk Tajuddin). Kita boleh dan akan terima. Malah pada satu program di Kedah baru-baru ini, kira-kira 12,000 ahli baru didaftarkan termasuk pengundi baru.

“Kita akan lihat potensi sokongan yang ada,” kata menteri tenaga dan sumber asli itu selepas menutup kursus malim gunung perhutanan (MGP) anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), di Kampar, Perak hari ini.

Takiyuddin, yang juga ahli Parlimen Kota Bharu itu, mengulas tawaran PAS Perak kepada Tajuddin supaya mewakil parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno minggu lepas.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menamatkan pelantikan Tajuddin sebagai ahli MKT Umno namun tidak menyatakan sebab Tajuddin dipecat.

Ditanya mengenai penggunaan logo PAS sendiri pada PRU15 nanti, Takiyuddin berkata perkara itu belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam satu mesyuarat kelak.

“Itu (guna logo sendiri) bukan perkara pelik kerana kita pernah guna logo Barisan Nasional pada 1974. Kita akan putuskan bila tiba masa nanti, katanya mengulas cadangan penggunaan logo PAS sebagai sebahagian daripada strategi parti menghadapi PRU15.