- Iklan -
Berita

Warga Felda tak setuju keputusan naikkan elaun pengerusi, ahli pengarah FGV

Mereka menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak wajar ketika keutamaan harus diberikan untuk pelaksanaan pelan pemulihannya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang peneroka mengait kelapa sawit di Felda Pasoh 4, Jelebu, Negeri Sembilan.
Seorang peneroka mengait kelapa sawit di Felda Pasoh 4, Jelebu, Negeri Sembilan.

Warga Felda berharap supaya FGV Holdings Berhad (FGV) meneliti semula keputusan menaikkan elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya kerana merasakan ini bukanlah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Mereka berkata, FGV yang merupakan entiti milik Felda menerusi pegangan 80%, seharusnya menumpukan kepada usaha pemulihan memandangkan harga minyak sawit mentah sedang mengukuh dan mendatangkan keuntungan kepada syarikat terbabit.

Terdahulu, FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada semalam mengumumkan majoriti pemegang sahamnya meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pada hari sama.

Antara usul yang terkandung ialah menaikkan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV daripada RM300,000 kepada RM480,000.

Ini bermaksud elaun yang diterima meningkat daripada RM25,000 sebulan kepada RM40,000.

Selain itu, imbuhan pengarah bukan eksekutifnya pula meningkat daripada RM120,000 kepada RM150,000 bersamaan peningkatan daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

Kenaikan elaun itu akan bermula pada 24 Jun 2022 sehingga tempoh AGM akan datang.

Dalam pada itu, keputusan AGM itu turut meluluskan pemberian satu kereta syarikat sekurang-kurangnya 2,000cc bagi kegunaan pengerusi bukan eksekutif disertakan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000.

Sebelum ini, pengerusi bukan eksekutif menerima RM15,000 elaun syarikat sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan.

Berdasarkan maklumat pada laman sesawang rasmi FGV, pengerusi bukan eksekutifnya pada ketika ini ialah Dzulkifli Abd Wahab.

Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, berkata ramai dalam kalangan warga Felda tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bimbang ini akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan peneroka.

Beliau berkata, ini kerana, warga Felda merasakan FGV dan Felda seharusnya fokus kepada pelan pemulihan melalui Kertas Putih yang dibentangkan pada April 2019.

“Laksanakan dulu pelan pemulihan sebab masih banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita sebagai warga Felda melihat tiada kewajarannya. Malah, (kenaikan) ini agak melampau.”

Menurut Mazlan, FGV sewajarnya mengambil kira beberapa perkara termasuk kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga makanan dan barangan sebelum membawa usul kenaikan elaun tersebut ke AGM.

“Malah, dianggarkan hampir 70% peneroka Felda generasi pertama sudah meninggal dan kini pendapatan yang diperoleh perlu dibahagikan antara waris atau generasi peneroka seterusnya.

“Pendapatan yang dimiliki pun tidak besar, bayangkan jika perlu bahagikan.

“Dengan keadaan begini, tiba-tiba FGV umumkan kenaikan elaun pengerusi sebanyak RM120,000. Justeru ia tiada kewajaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Zainal Abidin Ahmad berkata FGV sebaiknya membatalkan keputusan menaikkan elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya.

Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada FGV sedia menurunkan kembali elaun tersebut apabila harga minyak sawit mentah kembali menyusut.

“Persoalan sekarang, memang betul harga sawit tengah naik dan ini mendatangkan keuntungan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tetapi apabila harga sawit kembali turun, adakah elaun pengerusi akan turut diturunkan?”

FGV pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai dan kepetingan minoriti (PATAMI) kepada RM1.17 bilion, meningkat lapan kali ganda berbanding RM146 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

Pendapatan tahunannya turut meningkat 39% kepada paras tertinggi RM19.57 bilion berbanding RM14.07 bilion pada 2020.