- Iklan -
Berita

Pemimpin PH akan bincang RUU anti lompat parti dengan PM

Pertemuan antara pemimpin PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga akan membincangkan isu berhubung MoU yang telah dimeterai bersama dan tempoh penggal jawatan perdana menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Parlimen 18 Julai depan.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Parlimen 18 Julai depan.

Pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti dan tiga perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan persekutan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataannya hari ini berkata PH berharap RUU tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini.

“Dengan meluluskan RUU ini maka 15 dari 18 Perkara dalam MoU di antara PH dan kerajaan persekutuan akan tercapai bersamaan dengan 83%,” katanya.

Menurut kenyataan itu tiga perkara MoU yang masih perlu dilaksana adalah menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi perdana menteri, membentang RUU perkhidmatan Parlimen dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH kecewa atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang Rang Undang-undang Anti Lompat Parti seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Madius Tangau.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan mesyuarat khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Wan Junaidi berkata sebaliknya RUU berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya.