- Iklan -
Berita

Kurangnya pengeluaran padi cetus kebimbangan keselamatan makanan di Sarawak

Sarawak sudah pun bergantung kepada beras import dan ramai petani tidak lagi mahu mengusahakan sawah padi.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang petani Kampung Skuduk yang masih mengusahakan padi paya di Serian, Sarawak.
Seorang petani Kampung Skuduk yang masih mengusahakan padi paya di Serian, Sarawak.

Di Kampung Skuduk, Serian, petani akan keluar seawal pagi bagi mengerjakan sawah padi mereka.

Sejak beberapa dekad lalu, ia merupakan antara beberapa kampung di Sarawak yang mengusahakan padi basah atau padi paya, padi yang ditanam di kawasan tanah paya.

Namun, hari ini, relung sawah yang biasanya hijau dengan padi muda dilihat terabai dan dipenuhi rumput-rumpai.

Kebanyakan petani di kampung itu mula beralih mengerjakan tanaman lain yang lebih menguntungkan seperti getah.

Ketua kampung Silbey Anak Nobek berkata pendapatan hasil tanaman padi tidak begitu memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, kos buruh juga turut meningkat, dan ramai petani merasakan proses penanaman padi yang lama tidak lagi berbaloi dengan masa yang mereka habiskan.

Walaupun mempunyai mesin atau jentera untuk membantu mereka ketika tiba musim menuai, namun ia tidak semestinya membuatkan kehidupan petani di kampung menjadi lebih mudah.

“Apabila tanam padi, padi macam tak berjaya. Sebab tanah tenggelam bila mesin jalan atasnya,” kata Silbey.

Kini, di kampung itu, hanya sebilangan petani yang masih mengerjakan sawah padi.

“Tidak ramai lagi, sudah tinggal orang tua,” kata Silbey.

Import

Sejak beberapa dekad, bekalan padi di Sarawak bergantung kebanyakannya kepada beras import.

Walaupun kerajaan memperkenalkan inisiatif dan beberapa langkah untuk menggalakkan penanaman berskala besar, namun hasilnya kurang memuaskan.

Seorang petani bekerja di sawah ketika cuaca cerah di Kampung Skuduk, Serian.

Tahun lalu, Sarawak mengimport 145,468 tan metrik beras bernilai RM387 juta disebabkan kekurangan bekalan yang meruncing, di mana pengeluaran beras tempatan hanya sebanyak 38%.

Di Kampung Skuduk, penduduk kampung beralih kepada penanaman getah di bawah inisiatif kerajaan yang lain.

Mereka juga menanam sayur-sayuran seperti timun, labu dan cili dan hasil tanaman itu akan dijual kepada pemborong di Kuching.

Sementara sawah padi yang dahulunya subur kini tandus.

Sebahagian daripada masalahnya berpunca daripada golongan generasi muda lebih suka bekerja di kawasan bandar daripada tinggal di kampung untuk mengerjakan sawah padi.

“Golongan muda tidak begitu berminat untuk mengerjakan sawah padi kerana ia memenatkan,” kata Silbey.

“Mereka lebih suka bekerja di kilang berhampiran bandar.”

Tahun berganti tahun, semakin banyak tanah yang pernah diperuntukkan untuk tanaman padi ditukar kepada ladang bagi tanaman lain.

Malah, beberapa relung tanah disewakan kepada perniagaan.

Pada 2012, terdapat kira-kira 130,000 hektar tanah padi di negeri ini.

Namun, menjelang 2021, jumlah itu menyusut kepada 83,000.

Perbelanjaan kerajaan

Menteri Sarawak Stephen Rundi Anak Utom berkata satu cara untuk menangani isu itu ialah dengan menaikkan harga padi.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Stephen yang memegang portfolio pemodenan pertanian dan pembangunan wilayah berkata harga padi semasa adalah terlalu rendah.

“Sebilangan petani sudah beralih kepada penanaman kelapa sawit atau nenas yang lebih menguntungkan,” katanya.

“Jika keadaan ini berterusan, kawasan penanaman padi Sarawak akan semakin berkurangan.”

Padi menghijau tersusun kemas di relung sawah Kampung Skuduk, Serian.

Katanya, situasi itu juga akan memberi tekanan kepada keselamatan makanan di negeri itu kerana ia akan menyebabkan Sarawak akan lebih bergantung dengan beras import.

“Menaikkan harga padi atau memberi insentif pengeluaran kepada petani adalah satu perkara yang mesti dilaksanakan,” katanya.

“Ketika ini, petani mendapat kira-kira RM1 sekilo bagi padi yang mereka hasilkan, sementara insentif pengeluaran juga rendah – kira-kira 36 sen bagi setiap kg padi yang dijual.”

Bagi Stephen, harga padi yang lebih tinggi akan menggalakkan petani menanam sebanyak mungkin dan membuka kawasan baru untuk pengeluaran.

Dalam pada itu, ahli akademik Mohd Effendi Wasli dalam pada itu berkata kerajaan juga perlu memikirkan cara untuk mengawal harga barangan seperti baja dan racun perosak.

Effendi, dari Universiti Malaysia Sarawak, berkata ramai petani sedang bergelut berdepan dengan peningkatan harga.

“Ukraine adalah pembekal utama bahan kimia untuk baja,” katanya.

“Disebabkan perang yang berlaku di negara itu, harga pasaran produk pertanian meningkat sehingga 30% atau 40%.

“Kerajaan perlu teliti dengan lebih mendalam perkara-perkara ini dari perspektif petani dan memikirkan bagaimana mereka boleh mengawal harga,” katanya sambil menambah ketidaktentuan harga sedemikian akan memberi kesan kepada petani kecil.